eVetPermit3.0 semakin membebankan peternak 

eVetPermit3.0 semakin membebankan peternak 

Keratan akhbar Utusan Malaysia siaran Rabu 20 Ogos 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Golongan penternak meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu (JPVNT) memahami isu sebenar pengenalan sistem eVetPermit 3.0 yang dibangkitkan mereka dan bukannya mengeluarkan kenyataan tidak membantu menyelesaikan masalah itu.

Mereka mendakwa sistem itu tidak memudahkan urusan mereka, sebaliknya mendakwa semakin membebankan.

Seorang penternak, Abdullah Mamat, 70, berkata, isu sebenar adalah prosedur baharu itu memaksa penternak menunggu terlalu lama sebelum ternakan boleh dipindahkan atau disembelih hingga menjejaskan operasi harian serta menambah kos.

Katanya, sebelum ini permit boleh disiapkan dalam masa satu hingga dua jam jika melibatkan penghantaran dalam daerah manakala untuk luar daerah pula hanya mengambil masa sehari.

“Sekarang tempoh menunggu jadi antara 28 hingga 35 hari, bayangkan sebulan hanya tunggu permit, sedangkan lembu sudah sedia untuk dihantar,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Selasa lalu, kira-kira 100 penternak mengadakan bantahan aman di hadapan pejabat JPVNT di sini berhubung isu itu namun belum menampakkan jalan penyelesaian.

Penternak turut menggesa sistem lama dikembalikan kerana lebih praktikal serta tidak mengambil masa terlalu panjang untuk pemindahan ternakan.

Semalam JPVNT berkata, sistem berkenaan dibangunkan bukan bertujuan menyulitkan penternak sebaliknya memastikan kawalan penyakit ternakan dapat dilaksanakan lebih sistematik.

Menurut Abdullah, kelewatan itu memberi kesan kepada operasi kerana ternakan sudah dikumpulkan dan dikurung lebih awal tetapi terpaksa menanggung kos makanan tambahan sementara menunggu kelulusan.

Pada masa sama, keadaan le­bih membebankan apabila pihak berkuasa menetapkan suntikan tambahan F1 dan F2 sedangkan lembu tempatan sudah divaksinasi setiap tahun oleh veterinar daerah.

“Kalau dalam kampung, lembu memang sudah divaksin semasa program tahunan. Jadi untuk pindah antara daerah dalam Terengganu, tidak sepatutnya diwajibkan suntikan lagi. Itu hanya melambatkan urusan,” katanya.

Beliau menekankan isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah kawalan lembu import dari Thailand di sempadan kerana risiko penyakit lebih tinggi berbanding lembu tempatan.

“Kalau mahu cegah penyakit, kawal di sempadan. Jangan sampai penternak tempatan yang jadi mangsa,” tambahnya.

Seorang lagi penternak, Muhammad Ezril Hisham, 32, berkata perjumpaan bersama pihak berkuasa pada Selasa lalu dilihat tidak banyak malah menambah kekeliruan.

“Kasihanilah nasib kami kerana penternakan adalah punca utama rezeki kami,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN