PUTRAJAYA: Elemen integriti dan akauntabiliti akan menjadi panduan utama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sekali gus membantu memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Dewan Negara Mac lalu akan menjadi instrumen utama kepada budaya tata kelola baharu, dengan memberi penekanan terhadap pemantauan, penilaian dan ketelusan dalam setiap pelaksanaan dasar kerajaan.
Beliau berkata, elemen itu akan memantapkan lagi keadaan pemantauan kepada projek pembangunan di bawah RMK13.
“Kita akan memastikan sistem penyampaian kepada rakyat lebih tersusun menerusi penguatkuasaan Akta Iltizam itu,” katanya ketika ditemui selepas Program Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) 2025 Putrajaya di sini hari ini.
Katanya, penjawat awam turut menzahirkan komitmen untuk melaksanakan segala inisiatif dan dasar yang digariskan dalam RMK13 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai lalu.
Wan Dahlan berkata, penjawat awam sentiasa bersedia untuk menyambut apa jua yang terkandung dalam naskhah RMK13 tersebut.
“Pemantauan akan dilakukan dengan cara pimpinan akan turun padang dan melihat bagaimana perkara itu dijalankan dan juga menerusi pelaporan yang akan dibentangkan dalam mesyuarat yang telah ditetapkan nanti,” katanya.
Katanya, seluruh penjawat awam akan terus berganding bahu dalam memastikan segala sasaran pembangunan yang digariskan dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN