Edisi ketujuh IGMRR sasar lebih 3,000 peserta

Edisi ketujuh IGMRR sasar lebih 3,000 peserta, Proton S70 rebutan utama

HISHAMUDDIN Abdul Karim (tengah) merasmikan Majlis Pra Pelancaran Kayuhan dan Larian Monsun Emas Antarabangsa (IGMRR) 2025 di Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Edisi ketujuh penganjuran International Golden Monsoon Ride and Run (IGMRR) 2025, di sini dari 19 dan 20 Disember ini menyasarkan lebih 3,000 peserta dari dalam dan luar negara menyertai acara dwitahunan itu.

Mengetengahkan tema baharu, Be The Change, To The New Beginning, ia diperkenalkan secara rasmi menerusi majlis pra pelancaran yang berlangsung di Taman Panoramik Pesisir Payang, di sini, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penganjuran tahun ini membawa kelainan apabila menggabungkan dua disiplin sukan iaitu berbasikal dan larian.

 “Trend berbasikal dan larian mempunyai peminat tersendiri. Justeru, saya yakin penganjuran Disember ini menerima sambutan yang menggalakkan.

“Malah, hadiah yang ditawarkan sangat lumayan dengan sebuah Proton S70 menjadi rebutan utama,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan yang turut dihadiri Presiden Kumpulan Terengganu Incorporated, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Satu Water, Abdul Karim Endut.

Sementara itu, Burhanuddin Hilmi berkata, elemen baharu turut diperkenal menerusi penambahan huruf ‘R’ pada akronim IGMRR, yang membawa maksud ‘Run’ sebagai simbolik perluasan kepada konsep gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Sebanyak empat acara utama dianjurkan iaitu MTB Race On Road, Duathlon, Fun Ride dan Fun Run yang berlangsung di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu,” katanya.

Pendaftaran bagi menyertai IGMRR 2025 dibuka bermula 21 Ogos ini menerusi platform Ticket2U dan terbuka kepada semua peringkat umur.

Selain pelbagai acara menarik, peserta berpeluang memenangi lebih 150 hadiah cabutan bertuah bernilai RM120,000, termasuk sebuah kereta Proton S70, dua buah motosikal Honda Vario (160cc dan 125cc), iPhone 16, serta sebuah basikal lumba berjenama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN