Dulu pancing dapat sampah, kini Sungai Paroi kembali 'hidup'

Dulu pancing dapat sampah, kini Sungai Paroi kembali ‘hidup’

Penduduk setempat bergotong-royong membersihkan teping Sungai Paroi pada Program Gotong-Royong Perdana @stesen #3 di tebing Sungai Paroi, Ampangan di sini hari ini. - UTUSAN /NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jika sebelum ini pemancing hanya memperoleh sampah dan tali ketika memancing di tepian Sungai Paroi, kini sungai itu menunjukkan tanda pemulihan apabila spesies ikan seperti tilapia dan lampam kembali hidup di kawasan berkenaan.

Perubahan ketara itu adalah hasil usaha pemulihan dan keindahan sungai menerusi Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, melibatkan kawasan River Front Ampangan (RFA) sepanjang 300 meter.

Jajaran sungai yang terlibat dalam inisiatif projek RFA ini bermula dari kawasan Persiaran Dato Wan di jambatan Taman Negeri, sehingga ke persimpangan Jalan Sungai Landak dan Jalan Sejahtera di jambatan Blok C Ampangan.

Menurut Pengerusi Bertindak RFA, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, fasa kedua kerja-kerja pembersihan yang dijalankan hari ini melibatkan lebih 170 peserta terdiri daripada penduduk tempatan, pelajar serta komuniti surau sekitar Taman Bukti dan Taman Dato Wan, menyaksikan penggunaan dua tong RORO. 

“Sebelum ini pada pra-pembersihan awal dengan kerjasama agensi, kami guna tiga tong RORO untuk mengutip sisa sampah sarap seperti plastik, tayar dan batang kayu yang menyekat aliran air sungai. 

“Kawasan ini dahulu terbiar dan kotor. Sekarang, hasil kerjasama komuniti, ia berubah menjadi lokasi riadah, jogging dan memancing. Ini bukti kesedaran bersama boleh membawa perubahan besar,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Perdana @stesen #3 di tebing Sungai Paroi, Ampangan di sini, hari ini.

Dr Zainal turut menegaskan kepentingan menyelenggara sungai secara lestari di kawasan seperti Kompleks Belia dan Sukan Paroi (Kombes), yang bukan sahaja memulihkan ekosistem malah membuka ruang kepada aktiviti ekonomi kecil, pelancongan tempatan serta meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

“Selain itu juga, ia menjadi sebagai sebahagian inisiatif ” Ampangan Sihat, Selamat dan Sejahtera” yang memberi manfaat sosial kepada penduduk serta boleh dijadikan warisan berharga yang mampu dinikmati oleh generasi masa hadapan, ” katanya. 

Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak melepaskan ikan bandaraya atau spesies asing lain ke dalam sungai kerana dikhuatiri mengganggu ekosistem yang sedang pulih.

Sementara itu, Tengku Zamrah berkata, beliau menyokong usaha diteruskan secara berkala dengan penyertaan komuniti seminggu sekali bagi mengekalkan kebersihan serta fungsi semula jadi sungai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN