LUMUT: Dua rakan didakwa di Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini atas dua tuduhan memperdagangkan dua beradik kembar perempuan bawah umur untuk eksploitasi seks pada pertengahan Mei hingga pertengahan Jun lalu.
Juruteknik telefon bimbit, Muhammad Mustaqim Mohd Zuber, 25, dan pembantu klinik, Syazwani Mohd. Hashim, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Tertuduh didakwa memperdagangkan seorang perempuan berusia 14 tahun bagi maksud eksploitasi seks di dua unit pangsapuri di kawasan Teluk Muroh, dekat sini, antara 12 Mei hingga 1 Jun lalu.
Mereka juga dituduh melakukan perkara sama terhadap seorang lagi perempuan berusia 14 tahun yang juga kembar mangsa pertama di tempat sama antara 12 Mei hingga 15 Jun lalu.
Kedua-dua tuduhan dibuat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan orang (ATIPSOM) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup dan tidak kurang dari lima tahun, dan boleh dikenakan sebatan.
Hakim Azizah Ahmad menetapkan kes itu disebut semula pada 22 September ini serta membenarkan kedua-dua tertuduh diberi jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin masing-masing.
Beliau turut mengenakan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan, serta dilarang menganggu kedua-dua mangsa dan saksi.
Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya M. Esther Jacyntha manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan, kedua-dua mangsa yang masih bersekolah dipelihara oleh datuk dan nenek mereka di sini.
Difahamkan juga, dua beradik kembar itu mengenali kedua-dua suspek melalui media sosial sejak Mei lalu. – UTUSAN