BUKIT MERTAJAM : Dua cedera apabila sebuah lori ‘bonded’ merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 140.7, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran tol Juru menghala ke Sungai Dua di sini, awal pagi tadi.
Mereka yang cedera ialah seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 40 tahun dan seorang lelaki warga Nepal yang berusia 35 tahun.
Kedua-dua mangsa yang cedera pada bahagian kaki akibat tersepit di tempat duduk masing-masing itu merupakan pemandu dan kelindan untuk lori ‘bonded’ tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 5.24 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai kemudian dikerah ke lokasi dengan dibantu oleh anggota dari BBP Bandar Perda.
“Sebaik sahaja sampai di lokasi, didapati dua orang mangsa berada dalam keadaan tersepit dalam lori ‘bonded’ tersebut manakala pemandu treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa-mangsa yang tersepit kemudian berjaya dibawa keluar dengan menggunakan peralatan kebombaan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan di lokasi turut dilakukan bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.20 pagi.
Difahamkan, ketika kejadian, jalan agak licin kerana hujan lebat yang turun sejak tengah malam tadi.-UTUSAN