GEORGE TOWN: Langkah menempatkan warden daripada kalangan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau mula menampakkan hasil apabila disiplin pelajarnya kini semakin baik sejak inisiatif itu dilaksanakan Isnin lalu.
Pengetua MRSM Balik Pulau, Ibrahim Abdullah berkata, kehadiran warden daripada pesara ATM itu memberi impak positif kepada budaya sekolah khususnya dalam membentuk sikap pelajar agar lebih berdisiplin, teratur dan menepati masa.
“Setakat ini, perubahan yang dilihat sangat ketara. Saya sendiri telah menasihatkan warden supaya memastikan pelajar mengemas bilik sebelum tidur, bangun awal pagi dan mematuhi jadual asrama.
“Kini, pelajar lebih berdisiplin, bilik lebih kemas dan mereka juga hadir awal ke surau,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, semalam.
Ibrahim menjelaskan, tiga pesara tentera ditempatkan sebagai warden dengan jadual tugas bermula pukul 10 malam hingga 7 pagi merangkumi aspek pemantauan belajar, kawalan disiplin serta rondaan keselamatan di asrama.
Katanya, mereka turut ditugaskan memantau pelajar di dewan makan khususnya ketika makan malam dan sarapan pagi sepanjang tempoh bertugas.
“Warden ini tidak tidur malam kerana sepanjang masa mereka akan membuat rondaan, memastikan pelajar mengikut peraturan serta mengelakkan masalah disiplin atau isu buli,” katanya.
Menurut beliau, penempatan warden dari kalangan pesara ATM itu merupakan satu langkah berani dan wajar kerana warden sedia ada tidak mampu memantau keseluruhan pelajar secara menyeluruh pada waktu malam.
Katanya, kehadiran mereka bukan sahaja menambah aspek disiplin, malah, mampu membentuk persekitaran asrama yang lebih kemas, tersusun serta selamat.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, banyak pihak berpandangan bahawa tugas warden tidak lagi sesuai dipikul oleh guru kerana bebanan tugas sedia ada juga menyebabkan mereka tidak mampu memberi komitmen penuh terhadap tanggungjawab di luar waktu akademik.
“Pengambilan warden sepenuh masa daripada kalangan pesara anggota beruniform ini sudah melalui tapisan ketat dan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja mereka merupakan langkah terbaik yang diambil Mara,” katanya.-UTUSAN










