Dipanggil ‘anak yatim’, Bella Astillah sedih Ayden jadi mangsa buli - Utusan Malaysia

Dipanggil ‘anak yatim’, Bella Astillah sedih Ayden jadi mangsa buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah, mengakui hatinya luluh apabila mengetahui anak sulungnya, Mohamad Ayden Adrean, 8, menjadi mangsa buli di sekolah walaupun telah mengikuti kelas seni mempertahankan diri taekwondo.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, berkata, insiden tersebut bukan sahaja berlaku di sekolah jenis Cina pada sesi pagi, malah turut berulang di sekolah agama pada sebelah petang.

“Ayden pun ada kena buli. Walaupun saya sudah masukkan dia ke kelas taekwondo supaya dia boleh jaga diri, tapi dia masih menjadi mangsa.

“Di sekolah agama pun sama. Saya sedih sangat untuk dia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Pensijilan Halal Thong Bowl di IOI City Mall, Putrajaya, di sini, hari ini.

Menurut Bella, bentuk buli yang dialami anaknya melibatkan gangguan emosi dan fizikal, termasuk ejekan yang menyentuh perasaan.

“Di sekolah agama, ada yang menjerit panggil dia anak yatim. Ia sangat menyedihkan,” ujarnya.

Bagi menangani masalah itu, Bella mengambil pendekatan berjumpa pihak sekolah, keluarga pelaku termasuk bersemuka sendiri dengan pembuli tersebut.

“Saya harap Ayden kuat. Saya juga minta pihak ustazah membantu pantau keadaannya. Insya-Allah semoga ada perubahan.

“Malah saya sendiri berjumpa pelaku itu dan menegurnya, yang buli dia pula seorang kanak-kanak perempuan.

“Jadi saya cakap dengan Ayden dia kena kuat sikit selepas ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Bella, turut menegaskan bahawa kejadian tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus membimbing anak-anak menjadi lebih berani dan tabah menghadapi cabaran.

Dalam perkembangan lain, Bella turut mengucapkan tahniah kepada Restoran Thong Bowl! yang tersenarai dalam ASEAN Book of Records, selepas sebelum ini sudah memegang rekod dalam Malaysia Book of Records.

Sementara itu, menurut Penasihat Halal Thong Bowl, Aamir, pengiktirafan itu bukan sekadar tanda mematuhi syarat, tetapi melambangkan dedikasi pihaknya dalam memastikan setiap
proses dari pemilihan bahan mentah hingga penyediaan benar-benar menepati
piawaian Halal.

Tidak cuma itu, Aamir juga berbangga kerana restoran yang terkenal dengan menu Sliced Australian Beef Noodle itu kini secara rasmi menerima pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) bagi cawangan mereka di IOI City Mall, Putrajaya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN