LOS ANGELES: Selepas mengumumkan berita pertunangan, rata-rata peminat Taylor Swift bersorak kegembiraan apabila penyanyi popular itu akhirnya bakal berkahwin dengan lelaki pilihannya yang juga pemain bola sepak, Travis Kelce.
Dilamar dengan sebentuk cincin emas yang dihiasi berlian seberat antara 10 hingga 12 karat, penyanyi lagu Daylight itu berkongsi khabar gembira itu, pada Isnin.
Menerusi hantaran bersama di Instagram, Swift turut berkongsi foto dirinya dilamar Kelce di sebuah taman yang dihiasi bunga berwarna merah jambu dan putih.
“Guru Bahasa Inggeris anda dan guru Pendidikan Jasmani anda akan berkahwin,” tulisnya di kapsyen.
Bagaimanapun, pasangan itu tidak mendedahkan tarikh perkahwinan setakat ini.
Selain peminat, pengumuman itu juga dihujani ucapan tahniah daripada rakan artis dan pemimpin negara.
“Saya doakan mereka berdua banyak tuah. Travis seorang pemain hebat, seorang lelaki baik, manakala Taylor pula seorang insan luar biasa,” kata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Hari ini bagaikan kisah dongeng. Tahniah buat Travis dan Taylor. Kami berbesar hati menyambut anda sebagai sebahagian keluarga Chiefs Kingdom untuk selamanya,” kata pasukan Kansas City Chiefs menerusi hantaran di platform X.
Pengumuman yang diserikan dengan berlatar belakangkan lagu Swift yang berjudul, So High School itu turut mendapat sambutan respons hangat daru warganet sekali gus meraih sebanyak 22 juga tanda suka selepas beberapa jam berita itu dikongsi.
Untuk info, hubungan pasangan ini mula terjalin pada tahun 2023 selepas Swift mengadakan konsert di Stadium Arrowhead, iaitu gelanggang utama pasukan Chiefs.
Kelce sebelum ini pernah mendedahkan kekecewaannya kerana tidak berpeluang bertemu Swift semasa konsert tersebut dalam sebuah audio siar, New Heights.