PETALING JAYA: Kemasukan pelajar antarabangsa ke universiti tempatan tidak sekali-kali mengetepikan pelajar tempatan, sebaliknya meningkatkan daya saing pelajar pelajar di peringkat global.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, dakwaan bahawa pelajar antarabangsa mengambil tempat pelajar tempatan adalah tidak benar dan bercanggah dengan data sebenar.
“Semua pelajar antarabangsa dikenakan yuran penuh tanpa subsidi kerajaan. Malah, mereka perlu melalui proses saringan ketat, sama seperti pelajar tempatan, sebelum diterima ke universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil kutipan yuran pelajar antarabangsa digunakan universiti untuk menambah baik fasiliti, yang akhirnya turut dimanfaatkan oleh pelajar tempatan di semua kampus awam dan swasta.
“Berdasarkan data 31 Disember 2024, jumlah keseluruhan pelajar antarabangsa di Malaysia seramai 155,986 orang daripada 1,251,552 kemasukan pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.
“Daripada jumlah itu, seramai 53,322 orang adalah pelajar antarabangsa di universiti awam, meliputi peringkat prasiswazah dan pasca siswazah, bersamaan hanya 8.7 peratus daripada keseluruhan enrolmen,” katanya.
Tambah Azlinda, jumlah pelajar antarabangsa di lima universiti penyelidikan (RU) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), adalah sebanyak 21.3 peratus sahaja.
“Kehadiran 38,388 pelajar antarabangsa di RU meliputi 15.8 peratus pasca siswazah dan hanya 5.5 peratus prasiswazah, sekali gus menafikan dakwaan bahawa angka mereka mencecah 27 peratus” katanya
Beliau menambah, tumpuan RU memang diberikan kepada pengambilan pelajar antarabangsa pasca siswazah kerana mereka membawa perspektif baharu dalam penyelidikan dan meningkatkan kedudukan universiti tempatan dalam ranking global.
“Kehadiran mereka mencetus persekitaran pembelajaran dinamik, memperluas horizon pemikiran pelajar tempatan serta menyediakan ruang berinteraksi dan memahami silang budaya tanpa perlu ke luar negara,” katanya.
Azlinda berkata, KPT komited memastikan peluang pelajar tempatan tidak terpinggir, malah sentiasa memantau pengambilan pelajar antarabangsa bagi menjamin keutamaan tetap diberikan kepada warganegara di universiti awam.
“KPT sentiasa memantau pengambilan pelajar antarabangsa di semua universiti tempatan bagi memastikan pelajar tempatan terus diberi keutamaan dalam sektor pendidikan tinggi negara,” katanya. –UTUSAN










