APABILA bercakap tentang hobi bermain game, mungkin ramai skeptikal dan menganggap aktiviti itu perkara yang membuang masa serta tidak mendatangkan faedah dalam kehidupan.
Namun penyanyi, Fieya Julia menepis stigma itu dan membuktikan dengan bermain game dia mampu menjana pendapatan sampingan sebagai penyunting video atau video editor.
“Ia bukan sekadar membuang masa dan berseronok. Melalui game, saya belajar cara untuk penyuntingan, pergerakan kamera, angle, colouring, macam mana hendak buat drama dan video muzik.
“Pada saya, hobi ini membantu kerjaya saya. Tidak ramai yang tahu selain menyanyi, saya juga bekerja sebagai video editor di belakang tabir.
“Belajar cara untuk menyunting ini sangat perlu sebab sebagai penyanyi saya boleh gunakan dalam video muzik. Hobi ini boleh mendatangkan duit untuk saya dan berguna untuk kerjaya saya,” katanya kepada Pancaindera.
Kata pemilik nama penuh Nur Syafiyah Sejali itu, selain menyanyi, dia juga sudah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi penyunting video sejak di bangku sekolah lagi.
“Sejak sekolah menengah lagi saya teringin jadi editor tetapi belum ada ilmu yang banyak. Segalanya bermula setelah saya ceburi dunia streaming, saya belajar sendiri. Sekurang-kurangnya bila sudah belajar, saya dapat kepuasan itu,” jelasnya.
Meskipun kerjaya nyanyian adalah tugas hakikinya, penyanyi berusia 26 tahun itu tetap seronok menjana pendapatan dengan melakukan perkhidmatan penyuntingan video untuk pelanggan.
“Saya tidak ada masalah untuk membahagikan masa dengan kerjaya nyanyian dan hobi sebab saya jarang menyanyi dan mendapat jemputan.
“Menyunting ini sekadar kerja sampingan yang tidak mengganggu kerjaya nyanyian saya. Dalam sebulan itu akan ada seminggu saya siapkan kerja saya sebagai editor,” kongsinya.
Pada masa sama, penyanyi lagu Perasaanku tersebut mengakui hobinya itu adakalanya memberikannya tekanan jika hasil suntingannya tidak menepati cita rasa pelanggan atau diri sendiri.
“Bagi saya, hobi ini juga mendatangkan stres juga apabila apa yang saya lakukan tidak memenuhi kehendak pelanggan. Sebelum ini saya buat suntingan seorang diri dan ikut cita rasa saya.
“Sekarang, saya akan bawa klien saya dan lihat sekali proses pembikinan supaya mereka boleh minta saya tukar apa yang mereka kurang berkenan dan jimatkan masa semua pihak.
“Tetapi sekurang-kurangnya saya dapat perbaiki kelemahan saya selepas menerima komen yang melibatkan hasil kerja saya. Dan itulah bukti proses saya sedang belajar,” ceritanya.
Fieya bagaimanapun menganggap kelebihannya memiliki ilmu penyuntingan hasil daripada streaming game itu sangat ternilai maknanya kerana dapat menghasilkan pelbagai karya daripada sentuhan sendiri.
“Tidak semua penyanyi suka buat benda ini. Ada beberapa video muzik saya merupakan hasil suntingan saya sendiri. Rasanya, saya tidak pernah jumpa lagi penyanyi buat video muzik mereka sendiri,” katanya.
Tugas sebagai penyunting ini sememangnya banyak cabarannya, malah modal yang diperlukan juga tidak kurang besarnya kerana segalanya melibatkan perkakas elektronik yang mungkin mencecah ratusan ringgit.
Kata Julia, untuk memiliki sebuah ruangan kerja selesa dan hasil berkualiti, dia sudah melabur melebihi RM13,000 supaya video suntingannya mencapai kepuasan hatinya.
“Untuk suntingan, saya boleh anggarkan dalam RM3,000. Tetapi untuk set up komputer dan studio saya sudah belanja lebih daripada RM10,000 tetapi bukanlah saya beli serentak kerana itu juga bergantung pada pendapatan yang saya dapat setiap bulan,” terangnya.