Cubaan seludup dadah ke Sarawak menerusi KLIA tumpas

Cubaan seludup dadah ke Sarawak menerusi KLIA tumpas

ANTARA dadah yang dirampas dalam tiga siri serbuan oleh IPD KLIA pada 4 dan 5 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Cubaan menyeludup dadah ke Sarawak menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tumpas susulan penahanan tiga suspek pada 4 dan 5 Ogos lalu.

Dalam operasi khas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA itu, pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM436,000 berjaya dirampas menerusi tiga siri serbuan berasingan.

Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintendan Albany Hamzah berkata, serbuan pertama dibuat di kawasan parkir sebuah pangsapuri servis di sini pada 4 Ogos lalu menerusi penahanan dua lelaki berusia 30 dan 42 tahun yang disyaki pengedar dadah.

Beliau berkata, pemeriksaan di unit kediaman suspek menemui ketamin seberat 1 kilogram dan 1.54 kilogram pil Erimin 5 dengan nilai pasaran RM204,000.

“Siasatan mendapati, sindiket itu menyembunyikan dadah dalam bagasi sebelum menaiki penerbangan awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Susulan serbuan pertama itu, Albany berkata, pihaknya turut menyerbu kawasan parkir sebuah pangsapuri di Kajang pada hari sama dan merampas 1 kilogram methamphetamine bernilai RM32,000 yang disorok dalam sebuah kereta.

Katanya, serbuan pada keesokan harinya telah menahan seorang wanita berusia 32 tahun di Gombak yang memiliki 1 kilogram ketamin dan 1.5 kilogram Erimin 5 bernilai RM200,000.

“Suspek dipercayai menunggu masa sesuai untuk terbang ke Sarawak.
Semakan mendapati dua lelaki terbabit tiada rekod lampau, manakala wanita berkenaan mempunyai lima rekod jenayah.

“Ujian air kencing mendapati seorang lelaki positif methamphetamine, manakala dua lagi negatif,” katanya.

Katanya, modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan mengambil bekalan dadah di sekitar kawasan Selangor dan menyembunyikan dalam bagasi sebelum mengambil penerbangan awal pagi bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

Jelasnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sekurang-kurangnya 12 sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN