KANGAR: Malaysia berdepan risiko krisis bekalan makanan segar termasuk sayur-sayur tempatan jika cuaca panas melampau berlanjutan sehingga September atau Oktober.
Cuaca panas melampau memberi ancaman serius kepada keterjaminan makanan negara yang menyaksikan hasil tanaman utama seperti padi, sayur-sayuran daun, buah-buahan dan jagung bijirin mengalami penurunan hasil antara 20 hingga 40 peratus di beberapa negeri.
Melalui bacaan suhu harian yang mencecah lebih 36 sehingga 39 darjah Celsius sebelum ini di kawasan utara dan tengah semenanjung serta paras air empangan menurun ke tahap bahaya, keterjaminan makanan kini berada dalam tekanan yang semakin kritikal.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, gelombang cuaca panas melanda Malaysia sepanjang pertengahan pertama tahun ini memberi kesan besar bukan hanya kepada isu kesihatan dan bekalan air, tetapi terhadap sektor makanan serta pertanian negara.
Katanya, data sistem telemetri Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bertarikh 22 Julai 2025, empangan Pedu menunjukkan simpanan air sebanyak 59.85 peratus iaitu menyaksikan penurunan berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 64.61 peratus.
Ujar beliau, empangan Muda pula mencatatkan 52.44 peratus simpanan air juga menurun berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 64.23 peratus, manakala empangan Ahning pula merekodkan 61.45 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 64.71 peratus.
Katanya, tahap empangan yang semakin menyusut ini sememangnya memberi ancaman terhadap pengairan pertanian.
“Ini bermakna lebih daripada separuh kapasiti air empangan digunakan dan masih di atas paras amaran (~30 peratus) tetapi jauh di bawah paras ideal (>60 peratus). Sekiranya trend kekeringan itu berterusan, pelepasan air untuk pengairan dijangka semakin terhad sekali gus memberi kesan langsung kepada petani.
“Paras air empangan yang merosot juga menyebabkan pengurangan pelepasan air untuk pengairan terutama di kawasan jelapang padi.
“Keadaan ini menyebabkan pertumbuhan tanaman terbantut dan dalam kes lebih teruk, tanaman mati sebelum matang, sekali gus menjejaskan bekalan ke pasaran tempatan.
“Selain itu, harga input pertanian meningkat kerana keperluan pengairan tambahan menggunakan pam air, baja tambahan dan rawatan tanah sekali gus meningkatkan kos pengeluaran makanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Akhbar ini melaporkan, cuaca panas luar biasa dengan suhu mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celcius yang dicatatkan di enam lokasi di negara ini kian meresahkan rakyat.
Fenomena ini yang berlaku akibat fasa Monsun Barat Daya dijangka melanda negara sehingga pertengahan Oktober ini memaksa orang ramai mengubah dan mengehadkan aktiviti luar bagi mengelak risiko keletihan melampau dan dehidrasi.
Norazian berkata, impak jangka panjang terhadap terhadap keterjaminan makanan apabila kekerapan cuaca ekstrem itu menyebabkan musim tanaman tidak menentu dan sukar dirancang.
Katanya, hasil pertanian per hektar terus menurun dan menyebabkan Malaysia semakin bergantung kepada import makanan, terutama beras serta sayur-sayuran.
“Kesannya lagi, petani kecil akan tertekan dan sebahagiannya mungkin meninggalkan sektor ini, yang sekali gus bakal mengurangkan kapasiti pengeluaran makanan tempatan.
“Selain itu, keselamatan makanan golongan B40 antaranya semakin terancam apabila harga makanan meningkat akibat kekurangan bekalan dan kos pengeluaran tinggi,” katanya.
Tambahnya, jika cuaca panas melampau tersebut terus berlanjutan hingga September atau Oktober, Malaysia dijangka berisiko menghadapi krisis makanan segar termasuk bekalan sayur-sayuran tempatan selain harga makanan asas seperti beras, ikan dan ayam juga berkemungkinan melonjak mendadak.
Beliau berkata, El Nino dijangka menjadikan tempoh kemarau lebih panjang antara 2025 hingga 2030 dan memaksa petani di Kedah serta Kelantan mengubah jadual tanaman dan penggunaan varieti tahan kekurangan air seperti MR297 dan MRQ76.
Norazian berkata, beberapa langkah wajar diambil oleh kerajaan antaranya memperluaskan skim pengairan pintar dan cekap air atau sistem titisan dan aliran mikro bagi menangani ancaman tersebut
Norazian berkata, antara langkah lain seperti peralihan kepada tanaman lebih tahan cuaca panas dan kurang air seperti padi varieti MR297 yang lebih tahan kemarau.
“Selain itu, perkukuhkan stok penimbal makanan dan kerjasama ASEAN untuk keselamatan makanan serantau.
“Kerajaan perlu menyediakan insentif khas kepada petani terjejas dan mengaktifkan pelan mitigasi bencana iklim pertanian serta membangunkan infrastruktur tadahan hujan dan empangan kecil bagi kegunaan pertanian luar sistem pengairan utama,” katanya.-UTUSAN










