GEORGE TOWN: Pelbagai kelemahan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2025 (Siri 2) membuktikan wujud kelemahan kawalan kewangan dan pengawasan terhadap entiti tersebut.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan digesa mengambil tindakan tegas bagi menangani pelbagai kelemahan tadbir urus yang didedahkan dalam laporan tersebut khususnya 1,875 GLC terlibat dalam ketirisan dana awam.
Katanya, pendedahan laporan tersebut membuktikan keperluan mendesak untuk mengetatkan kawalan kewangan dan pengawasan terhadap GLC dan agensi penerima dana awam yang lain.
“Laporan Ketua Audit Negara 2025 Siri 2 menemukan pelbagai ketidakteraturan dan kegagalan tadbir urus yang serius, sekali gus menimbulkan kebimbangan baharu selepas meneliti lima audit di tujuh kementerian melibatkan program dan projek bernilai kira-kira RM48.873 bilion.
“Dalam hal ini, CAP menggesa agar kawalan kewangan yang lebih ketat dikenakan untuk mengelakkan sebarang penyalahgunaan pada masa depan,” katanya di sini hari ini.
Untuk rekod, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 telah mendedahkan wujud kelemahan tadbir urus dan ketidakpatuhan dalam pelbagai projek dan program kerajaan bernilai RM48.78 bilion.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, angka tersebut adalah nilai projek yang diaudit dan bukannya jumlah wang yang hilang sebagaimana yang sering diputarbelit di media sosial.
Mohiden berkata, kejayaan pindaan terhadap Akta Audit 1957 dan peluasan kuasa Ketua Audit Negara termasuk pengenalan sistem audit kendiri digital serta keupayaan mengaudit semua penerima dana awam bergantung kepada pelaksanaan yang mantap serta kemahuan politik berterusan.
“Sejak pindaan akta itu dilakukan, sebanyak RM123 juta telah berjaya dituntut semula. Namun, usaha pemulihan ini perlu diteruskan dan diperluas,” katanya.
Mohideen berkata, laporan mendapati, sebanyak 12,393 audit telah dijalankan sejak 2012 hingga Januari 2025, dengan 11,594 kes telah ditangani manakala 799 kes lagi masih dalam tindakan susulan.
“Lebih membimbangkan, sebanyak 286 kes masih dalam siasatan, termasuk 138 kes oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 116 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan 32 oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Antara kes paling mencuri perhatian ialah pelarasan manual sebanyak RM392.95 juta dalam akaun Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang tidak dapat disahkan, susulan pelarasan yang dibuat di luar Sistem Perakaunan Standard Agensi Kerajaan,” katanya.-UTUSAN










