Cadangan mengharamkan vape keterlaluan

Cadangan mengharamkan vape keterlaluan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan kerajaan untuk mengharamkan penggunaan produk rokok elektronik atau vape serta pelaksanaan Generasi Penamat (Generational End Game, GEG) disifatkan sebagai keterlaluan dan melanggar hak individu.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Jeyakumar Devaraj berkata, walaupun rokok dan vape mempunyai kesan negatif terhadap kesihatan, langkah mengharamkannya sehingga menjadikannya satu kesalahan jenayah adalah tidak wajar.

“Undang-undang mengharamkan vape bermakna penjualan dan penggunaannya dianggap sebagai jenayah yang boleh dikenakan denda atau hukuman penjara. 

“Ini membawa kepada kriminalisasi tabiat peribadi, sesuatu yang saya anggap tidak patut berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan berhak melindungi masyarakat dan alam sekitar daripada kesan negatif rokok dan vape, namun hak individu juga perlu dihormati dan kerajaan tidak seharusnya menjadi ‘moral police’ (polis moral).

“Melarang penggunaan vape di tempat awam seperti restoran, pawagam atau pengangkutan awam adalah wajar. Begitu juga larangan menjual kepada individu bawah 18 tahun. Tetapi mengharamkannya di rumah sendiri atau ruang khas yang dibenarkan adalah keterlaluan.

“Setiap individu berhak membuat pilihan, walaupun pilihan itu tidak baik untuk kesihatan dirinya, selagi tidak mendatangkan kesan buruk kepada orang lain. Kerajaan boleh menasihati atau mendidik, tetapi tidak boleh memaksa dengan undang-undang,” katanya.

Jeyakumar berkata, jika rokok dan vape diharamkan, maka kerajaan juga wajar mengkriminalkan tabiat tidak sihat lain seperti pengambilan alkohol dan gula berlebihan.

Menurut beliau, pengalaman sejarah menunjukkan tabiat yang diharamkan lazimnya tidak terhapus, sebaliknya terus berlaku secara haram dan dikawal oleh sindiket jenayah.

“Apabila sesuatu aktiviti diharamkan, ia hanya menguntungkan kumpulan yang mengedarkannya secara haram dengan harga lebih tinggi.

“Golongan remaja pula lebih tertarik kerana ia dianggap sebagai satu bentuk pemberontakan terhadap arus perdana. Proses pemantauan produk juga menjadi lebih sukar,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN