Bunga ganja menyerupai serunding bernilai RM2.94 juta dirampas di Kuala Perlis

Bunga ganja menyerupai serunding bernilai RM2.94 juta dirampas di Kuala Perlis

ISMAIL Hashim (empat dari kanan) menunjukkan bungkusan dipercayai bunga ganja yang dirampas menerusi pemeriksaan di tanda arah suar sekitar perairan Kuala Perlis pada sidang akhbar di pejabat cawangan penguatkuasa/marin Kuala Perlis hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri membongkar sindiket penyeludupan dadah menerusi rampasan bunga ganja yang dibungkus menyerupai serunding seberat 30 kilogram bernilai kira-kira RM2.94 juta di perairan Kuala Perlis, di sini, pada 7 Ogos lalu.

Rampasan kira-kira pukul 1 pagi itu selepas sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis membuat pemeriksaan di sekitar tanda arah suar berwarna putih yang terletak satu kilometer dari pantai.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, hasil pemeriksaan itu membawa kepada penemuan empat bungkusan guni yang ditinggalkan di atas tanda arah suar tersebut.
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan guni itu mendapati terdapat 146 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering yang menyerupai seperti serunding disyaki bunga ganja.

“Jarak lokasi penemuan bunga ganja itu terletak kira-kira dua kilometer dari perairan antarabangsa Malaysia-Thailand,” katanya pada sidang akhbar di pejabat cawangan penguatkuasa/marin Kuala Perlis di sini hari ini.

Ismail berkata, bunga ganja yang ditinggalkan di atas tanda arah suar itu juga dipercayai akan diambil pihak lain untuk diedarkan sekitar kawasan utara dan Lembah Klang.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan selama satu jam oleh penguatkuasa di lokasi berkenaan tidak menemui mana-mana individu cuba mengambil bungkusan guni itu.

“Ini adalah modus operandi baharu digunakan sindiket di negeri ini dengan meninggalkan bungkusan guni disyaki berisi bunga ganja di kawasan tanda arah suar perairan masuk Kuala Perlis dan dipercayai akan diambil individu lain,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, bunga ganja yang dirampas itu juga mempunyai nilai tinggi dalam pasaran iaitu sekitar RM93,000 sekilogram.

Katanya, dadah dirampas itu juga dipercayai dapat digunakan oleh kira-kira 65,000 penagih.

“Tiada tangkapan dilakukan dan kes ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN