“30 TAHUN yang lalu, saya melangkah ke dunia kerjaya sebagai seorang juruteknik di salah sebuah loji PETRONAS dengan tangan berlumur minyak, memakai baju coverall, bergelut dengan mesin di tengah syif malam.
Segalanya bermula di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) dan sebagai pelatih, saya bukan sekadar diasah dengan kemahiran teknikal, tetapi juga disiplin dan nilai kepimpinan.
“Dulu saya sama seperti pelatih hari ini, terusik oleh bunyi jentera loji simulasi, terpaku di depan papan putih bilik kuliah dan dibimbing oleh mentor yang berpengalaman.
Tetapi tanpa disangka, perjalanan dari bengkel latihan ke bilik mesyuarat pengurusan, saya belajar bahawa setiap peranan ada nilainya dan setiap cabaran adalah peluang untuk berkembang, bukan hanya sebagai pekerja, tetapi sebagai insan yang memberi makna kepada kemajuan.”
Begitulah kata Haizlin Sulaiman, alumni Skim Latihan Perantis PETRONAS, yang kini mengetuai Jabatan Pengeluaran di Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB).
Sebagai alumni INSTEP, yang dahulunya dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian PETRONAS (ILPP). Haizlin, 52, adalah bukti nyata bahawa pendidikan vokasional yang terstruktur mampu melahirkan profesional berdaya saing, bahkan pemimpin industri.
Kisahnya menyamai inspirasi anak tempatan lain di INSTEP, bermula sebagai pelatih teknikal, kemudian bangkit sebagai penggerak utama dalam sektor tenaga. Inilah kesan transformatif pendidikan berimpak tinggi; bukan sekadar melahirkan pekerja mahir, tetapi perancang strategik yang membentuk masa depan industri.
Menurutnya, Skim Latihan Perantis PETRONAS yang diambilnya kini ditambah baik dan diperbaharui melalui beberapa transformasi dengan program terkini yang dikenali sebagai Technical Energy Enrichment Programme (TEP).
Bersandarkan komitmen INSTEP dalam membina modal insan untuk industri tenaga, TEP diperkenalkan kepada pelajar lepasan diploma dengan pendedahan awal kepada dunia sebenar industri minyak dan gas. Sejak dilancarkan pada tahun 2021, program ini membuka peluang kepada ramai belia, terutamanya dari negeri Terengganu, untuk menceburi bidang kerjaya yang bernilai tinggi.
Sebagaimana yang dilalui Haizlin, pelatih TEP mengikuti latihan teori dan praktikal di prasarana INSTEP termasuk juga pembangunan kemahiran insaniah. Yang membezakan latihan ini adalah pendekatan berasaskan pengalaman sebenar yang diterapkan melalui sesi pembelajaran langsung di Upstream Downstream Training Plant (UDTP). Di sinilah pelatih melaksanakan tugasan teknikal sebenar menggunakan peralatan industri, sekali gus membina kefahaman mendalam terhadap operasi dan keselamatan di tapak.
TENAGA PENGAJAR BERPENGALAMAN
Dengan keluasan hampir 81 hektar, latihan di kampus INSTEP merangkumi silibus dan loji latihan canggih dengan kehadiran tenaga pengajar yang berpengalaman luas dalam industri. Ramai antara mereka bekas profesional PETRONAS, ada yang pernah berkhidmat di peringkat antarabangsa dan ada juga yang pernah berada di barisan kepimpinan kanan atau tertinggi dalam organisasi.
Kamarul Ariffin Tajul A’mar antara tenaga pengajar terlatih, yang mempunyai tiga dekad pengalaman dalam bidang operasi termasuk persekitaran luar pesisir dan penempatan antarabangsa.
“Saya amat faham cabaran dan piawaian tinggi yang diperlukan dalam industri minyak dan gas. Di INSTEP, kami tidak hanya mengajar berdasarkan buku teks, kami juga menyampaikan pengalaman sebenar. Selain daripada kemahiran mengendalikan peralatan, pelatih juga diterapkan amalan secara profesional yang berintegriti menyelesaikan masalah di bawah tekanan, dan mengutamakan keselamatan. Melihat perubahan mereka daripada individu yang kurang yakin kepada tenaga kerja yang bersedia merupakan satu kepuasan yang tidak ternilai,” katanya.
Kehadiran bekas profesional industri dalam bilik latihan memberikan dimensi pembelajaran yang unik serta mendalami konteks sebenar industri. Beliau yang juga pernah membimbing ramai jurutera muda sewaktu bertugas dahulu, kini terus mencurahkan ilmu dan inspirasi kepada pelatih INSTEP, menjadikan latihan di sini bukan sekadar teori, tetapi persediaan menyeluruh untuk dunia sebenar.
AGENDA TVET NEGARA
Sebagai pusat kecemerlangan dalam latihan teknikal industri minyak dan gas, INSTEP turut memainkan peranan penting dalam menyokong agenda TVET Negara melalui Program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) yang diperkenalkan sejak tahun 1992 dan telah memberi manfaat kepada 37 institusi TVET terpilih di seluruh negara, dengan pelaburan melebihi RM95 juta dan melahirkan lebih 14,000 graduan.
Kesinambungan program ini diteruskan dengan penambahbaikan model kerangka program secara menyeluruh. VISTA kini dikenali sebagai Vocational Integrated Skilled Talent Advancement atau VISTA i-plus.
Model baharu ini menekankan kepentingan kolaborasi secara langsung dengan pemain industri, agensi kerajaan dan institusi TVET sebagai nadi utama kepada perancangan dan perlaksanaan program ini.
Fokus utama VISTA i-plus adalah untuk meningkatkan kualiti, penjenamaan, kolaborasi, dan kepelbagaian dana yang lebih mampan. Dengan peningkatan kualiti latihan yang memenuhi kehendak industri semasa, ia menjadikan graduan program ini lebih kompetitif dalam mendapatkan kerjaya di dalam sektor minyak dan gas.
INSTEP merupakan rakan teknikal utama yang menyumbang secara aktif dalam pelaksanaan VISTA i-Plus melalui pembangunan kurikulum, pelaksanaan penilaian seperti Welder Qualification Test (WQT) dan program Train-the-Trainer (ToT). Pendekatan kolaboratif ini memastikan bahawa bakat yang dibentuk benar-benar bersedia untuk menyertai dunia kerja yang semakin mencabar.
Sebagai pelengkap kepada inisiatif pemerkasaan kemahiran teknikal ini, INSTEP turut melaksanakan Oil and Gas Wakalah TVET Programme (OGWTP), sebuah program prapekerjaan yang baharu dengan kerjasama Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) Terengganu. Program ini direka khusus kepada golongan belia berkelayakan dari kalangan asnaf negeri.
“INSTEP menawarkan program latihan teknikal dan profesional yang bukan sahaja menyokong industri tenaga, tetapi juga memperkasakan komuniti. Kami percaya pendidikan vokasional berkualiti mampu mengubah kehidupan dan memberi impak berpanjangan kepada negara.” ujar Azhar Ahmad, Pemangku CEO merangkap Pengurus Besar INSTEP.
Kisah Haizlin yang menjadi antara lebih 300 alumni TEP dan Kamarul Ariffin sebagai tenaga pengajar profesional adalah bukti bahawa pendidikan vokasional bukan sekadar laluan alternatif, tetapi satu pelaburan strategik demi menjana masa depan negara yang berdaya saing dan meningkatkan taraf kehidupan.
INSTEP bukan hanya melatih — ia membentuk, memacu dan mengangkat potensi anak bangsa menjadi tenaga profesional yang diyakini industri.