Bomba daki Bukit Berekeh padam kebakaran hutan - Utusan Malaysia

Bomba daki Bukit Berekeh padam kebakaran hutan

ANGGOTA bomba yang menjalankan operasi memadam kebakaran hutan di puncak Bukit Berekeh, Kampung Bawong di Sungai Siput sejak semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Pasukan bomba terpaksa mendaki Bukit Berekeh, Kampung Bawong di sini selama hampir satu jam untuk memadam kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas 4.05 hektar sejak semalam.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kebakaran itu pada pukul 5 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput, BBP Kuala Kangsar dan BBP Ipoh diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

“Kebakaran berlaku secara bertompok-tompok melibatkan kawasan hutan di puncak Bukit Berekeh dengan anggaran keluasan terbakar sekitar 4.04 hektar.

“Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa. Anggota diarahkan untuk mendaki ke puncak bukit yang mengambil masa perjalanan sekitar satu jam dengan pemadaman dilakukan mengguna lima unit pemerap api,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi pemadaman diteruskan pagi ini melibatkan 25 anggota dibantu lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), sembilan anggota Rela dan seorang anggota Bomba Komuniti.

Katanya, pesawat AW189 dari Pengkalan Udara Subang turut berlepas ke lokasi pada pukul 9.30 pagi tadi bagi membantu operasi.

“Operasi pemadaman masih diteruskan dan dipantau rapi bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan berhampiran,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN