BN tidak mahu ‘rugi’ dalam rundingan kerjasama PRN Sabah

BN tidak mahu ‘rugi’ dalam rundingan kerjasama PRN Sabah

MOHAMAD Hasan ditemui pemberita di kediamannya di Rantau, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada Jawatankuasa Perundingan bagi mencapai persetujuan terutamanya berkenaan segi bekerjsama dengan parti lain dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun berkata, BN berharap keputusan hasil rundingan itu tidak meletakkan parti itu dalam kedudukan kerugian.

Katanya, rundingan sedang dijalankan dan beliau akan melihat hasil perundingan tersebut yang akan dibawa ke peringkat pucuk pimpinan.

“Di situ nanti pucuk pimpinan akan meneliti dan menimbang baik buruk ataupun apa corak persefahaman yang perlu kita lalui semasa kita menghadapi pilihan raya itu nanti. Dalam apa juga keadaan, BN tak mahu rugilah.

“Itulah sebabnya saya sebut semasa merasmikan (UMNO) Bahagian Kimanis dan Putatan (Sabah) bahawa hasrat kita untuk meletakkan calon BN sekurang-kurangnya satu kerusi di dalam setiap parlimen dalam negeri Sabah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, rundingan sedang dijalankan bagi mengelak pertandingan tiga penjuru antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PH dan BN pada PRN Sabah kelak.

Kata beliau, semua parti itu kini di peringkat rundingan jawatankuasa yang berkaitan termasuk soal kerusi yang akan ditandingi.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, PRN Sabah boleh diadakan pada bila-bila masa, namun perundingan berkenaan dengan persefahaman dan juga perundingan kerusi itu belum dimuktamadkan lagi.

“Apa yang telah dimuktamadkan adalah persefahaman di antara BN dan PH. Itu pun belum lagi dimuktamadkan tentang pembagian kerusi,” katanya.

Bagaimanapun beliau menjangkakan pembahagian kerusi berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kerana kita tak boleh mengambil masa sangat untuk Jawatankuasa Perundingan ini untuk mereka berunding. Tetapi apa yang saya dengar, mereka sudah di peringkat akhir, terutamanya di antara BN dan juga PH.

“Itu sebab saya katakan tadi bahawa PH dengan BN, kami secara dasarnya memang telah bersetuju untuk mengharungi PRN Sabah bersama, yang lain-lain tu, kita tengoklah. Jika ada persefahaman, kita boleh bersetuju,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN