KUALA TERENGGANU: Minat yang mendalam terhadap ikan hiasan Betta mendorong seorang ahli perniagaan dari Kota Bharu, Kelantan berbelanja lebih RM30,000 sejak enam tahun lalu demi memenuhi hobinya itu.
Izzat Haiqal Mansor, 36, berkata, dia mula memelihara ikan hiasan Betta sejak 2020 dengan membelinya pada harga RM100 hingga RM150 seekor, khususnya jenis multicolor yang mempunyai lebih tiga warna.
“Ketika itu, harganya masih murah dan saya hanya pelihara untuk hobi. Namun, selepas pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021, harga ikan Betta melonjak sehingga RM1,000 hingga RM1,500 bagi gred terbaik.
“Kini saya memiliki lebih 30 ekor ikan Betta yang dipelihara khas untuk menyertai pertandingan, termasuk di peringkat antarabangsa seperti Thailand, Singapura dan Indonesia,” katanya ketika ditemui semasa Pertandingan dan Pameran Ikan Hiasan Betta sempena Temasya Tranung Kite di Pulau Warisan, di sini.
Izzat Haiqal tidak kisah mengeluarkan sejumlah wang untuk mendapatkan ikan berkualiti tinggi dari aspek warna, sirip, gaya berenang serta tahap kesihatan yang aktif.
Katanya, penjagaan ikan Betta tidak sukar namun perlu diberi perhatian rapi, terutama ketika menyertai pertandingan.
“Untuk penjagaan, saya tukar air setiap dua atau tiga hari dengan menggunakan air daun ketapang sebagai habitat semula jadi dan memberi makanan khas seperti jentik-jentik segar.
“Tetapi untuk menyertai pertandingan terutama di luar Kota Bharu, saya menggunakan air mineral supaya kualiti air dalam keadaan baik,” katanya.
Seorang lagi peminat ikan hiasan, Arif Affendi Musa, 30, dari Batu Buruk, memelihara ikan Betta sejak 2015 dan kini mempunyai kira-kira 300 ekor pelbagai jenis termasuk ‘double tail plakat’ dan ‘halfmoon’ (ekor separuh bulan).
“Setiap kali ada pertandingan, saya beli ikan baharu yang berpotensi dipertandingkan. Anggaran belanja untuk seekor ikan berkualiti mencecah RM300,” katanya. – UTUSAN










