ALOR GAJAH : Semangat patriotisme penduduk Felda Hutan Percha, Machap terserlah apabila mereka sanggup mengumpul dan membelanjakan lebih RM10,000 bagi menghias kampung mereka dengan Jalur Gemilang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Hutan Percha, Nizam Baharom berkata, perbelanjaan itu digunakan sepenuhnya untuk membeli bendera, kain rentang serta bahan dekorasi landskap yang menghiasi lima lokasi utama kampung.
“Sebanyak lima kawasan menjadi tumpuan hiasan iaitu Taman Puncak Damai, Laman Kasih Sayang, Laman Nostalgia, Laman Muafakat dan Anjung Istana. Semua kos ini datang daripada titik peluh penduduk sendiri yang bergotong-royong, malah lebih 300 orang penduduk terlibat sejak awal Ogos lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menariknya, kampung tersebut turut dihuni oleh masyarakat Melayu, Cina, India dan Orang Asli yang bersatu hati berganding bahu menghias kawasan tanpa mengira latar belakang kaum.
Menurutnya, setiap lokasi hiasan disertai sekurang-kurangnya 20 hingga 30 orang penduduk yang bukan sahaja menyumbang tenaga malah turut menghulurkan wang saku bagi memastikan suasana sambutan lebih meriah.
Seorang penduduk, Abdullah Mad Shah, 65, yang merupakan pesara tentera berkata, beliau berbangga dapat menyumbang idea termasuk menghasilkan replika kapal dan keris bagi menghiasi kawasan.
“Generasi lama menyumbang pengalaman manakala generasi muda pula melaksanakan. Inilah yang menjadikan kampung kami cantik serta mampu meraih pelbagai anugerah.
“Apa yang penting usaha ini berjaya menarik penglibatan orang muda walaupun tak ramai asalkan mereka boleh mengajak rakan-rakan lain dan menjadi teladan buat generasi seterusnya,” ujarnya.
Dia juga optimis usaha tersebut bukan sahaja memupuk semangat patriotisme malah mampu menarik minat golongan muda untuk terus bersama-sama memajukan kampung.-UTUSAN










