PASIR GUDANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh, 64, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini 9.50 malam tadi.
Berita kematian ADUN itu dimaklumkan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hasan menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya, malam tadi.
“Dukacita dimaklumkan bahawa sahabat kita Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (mantan ADUN Permas dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Amanah Negeri Johor) telah kembali ke rahmatullah.
“Amanah Johor merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberi ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
“Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah dan doa agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran tersebut.
Sebelum ini, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai ADUN Permas bagi penggal 2018-2022 setelah menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Bekas ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengumumkan menyertai Amanah pada Julai 2022.-UTUSAN










