‘Bedah siasat prosedur standard kematian mengejut, kenapa tidak dilakukan?’

‘Bedah siasat prosedur standard kematian mengejut, kenapa tidak dilakukan?’

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bedah siasat terhadap mayat Zara Qairina Mahathir sepatutnya dibuat tanpa permintaan mana-mana pihak kerana ia adalah prosedur standard bagi kes kematian mengejut atau tidak dijangka.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, kes membabitkan remaja berusia 13 tahun itu menimbulkan persoalan terhadap prosedur polis, khususnya ketiadaan bedah siasat sebelum Zara dikebumikan sehari selepas mayatnya ditemui di longkang berhampiran asrama sekolah pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu.

Takiyuddin menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya membentangkan laporan terperinci di Dewan Rakyat mengenai kematian Zara memandangkan ia mencetuskan kebimbangan awam yang besar.

“Berdasarkan prosedur standard, apabila seseorang meninggal dunia, kebenaran pelepasan jenazah untuk dikebumikan perlu diperoleh sama ada dalam keadaan biasa atau luar biasa.

“Dalam insiden tragis dan penuh misteri ini, adakah pihak polis membenarkan pengebumian Zara tanpa menjalankan bedah siasat terlebih dahulu? Saya ingin menegaskan, bedah siasat perlu dilakukan tanpa permintaan mana-mana pihak kerana ia adalah prosedur standard dalam kes kematian mengejut. 

“Kita mahu tahu mengapa polis tidak menjalankan bedah siasat dalam kes ini,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Takiyuddin turut memetik kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun pada 28 Julai lalu di mana siasatan menyeluruh sedang dijalankan daripada semua sudut.

Kemudian, pada 31 Julai mengesahkan kertas siasatan telah dihantar ke Bukit Aman untuk disemak sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Bagaimanapun, apabila kertas siasatan dihantar kepada AGC pada 6 Ogos, AGC memulangkannya kepada polis dengan arahan supaya siasatan dilengkapkan kerana ia tidak lengkap.

“Sekali lagi, pada 8 Ogos, AGC memulangkannya semula dengan arahan tambahan kepada polis, termasuk membongkar semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN