Bapa rayu sumbangan pembedahan anak hidap kanser saraf

Bapa rayu sumbangan pembedahan anak hidap kanser saraf

NURUL Syahira Rosli bersama ibu bapanya, Roshizam Rosli dan Che Ma Abdullah di rumahnya di Nilai, Seremban semalam. – UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bapa kepada seorang remaja yang menghidap kanser saraf tahap empat memohon bantuan orang ramai bagi mencukupkan jumlah dana untuk membolehkan anaknya itu menjalani rawatan pembedahan.

Roshizam Rosli, 50, berkata, dia kini masih memerlukan lebih kurang RM500,000 lagi bagi membolehkan anak ketiganya itu, Nurul Syahira Aliesya, 17, menjalani rawatan di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur pada November ini.

Katanya, rawatan tersebut menjadi peluang terakhir untuk menyelamatkan nyawa anaknya.

Menurutnya, dana yang berjaya dikumpul ketika ini hanya RM32,000.

“Kami masih perlukan lebih kurang RM500,000 lagi untuk anak kami jalani rawatan pembedahan Imunoterapi Dinutuximab Beta (Qarziba). Kalau dana berjaya dikumpul dan rawatan dapat dijalankan, besar kemungkinan anak saya akan sembuh dan dapat hidup seperti remaja lain, sambung belajar, kembali ke sekolah.

“Kalau tidak cukup dana, doktor kata dia kena bergantung pada ubat hayat, di mana perlu diambil seumur hidup. Kalau terlewat makan, kanser boleh merebak dengan cepat dan kami tidak tahu apa kesan implikasi pada diri dia nanti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Semarak dekat Nilai di sini.

Nurul Syahira telah melalui pelbagai fasa rawatan iaitu empat kali pembedahan membuang ketumbuhan sejak November 2024, 12 sesi radioterapi, dua kali kemoterapi dan bakal mulakan pengambilan ubat sebelum rawatan Qarziba.

Roshizam berkata, penyakit anaknya itu bermula Mac 2024 selepas dia mengadu sakit perut dan hanya disangka gastrik.

“Namun selepas beberapa pemeriksaan, benjolan di lehernya bukan beguk, tetapi tanda awal kanser saraf (neuroblastoma). Kini ia telah berada di tahap paling kritikal iaitu tahap empat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN