KUALA LUMPUR: Beberapa bantuan jangka panjang akan diteliti bagi membantu mangsa yang terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan 14 rumah dan beberapa premis perniagaan di Pantai Dalam, malam tadi.
Ahli Parlimen Pantai Dalam, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedang mengatur beberapa sesi pertemuan melibatkan mangsa yang terlibat serta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan tersebut.
“Pertama dengan keluarga-keluarga yang terkesan, kita akan teliti apa bentuk bantuan selain daripada sumbangan kewangan dan kecemasan yang boleh kita berikan.
“Saya ingin pindahkan mereka mungkin ke beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berdekatan supaya dalam tempoh pembinaan semula ataupun untuk mereka mencari rumah baharu, sekurang-kurangnya ada tempat yang lebih sesuai untuk mereka,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Rendah Agama Al-Khwarizmi.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pertemuan juga akan diadakan terhadap pemilik-pemilik premis-premis perniagaan yang terkesan dalam kejadian itu.
“Saya akan adakan pertemuan dengan pihak DBKL bersama dengan tuan tanah dan pengusaha kedai-kedai termasuk dengan beberapa pihak yang lain untuk kita teliti apakah langkah berikutnya,” jelasnya.
Fahmi berkata, berdasarkan maklum balas dari pihak bomba, struktur sedia ada premis-premis terlibat telah rosak sepenuhnya (total loss) dan berkemungkinan perlu dirobohkan.
“Memang tidak boleh diselamatkan kerana rangkanya, strukturnya kayu dan sangat-sangat bahaya. Tidak boleh dibaik-pulih, kemungkinan besar perlu dirobohkan sepenuhnya dan dibangunkan satu struktur yang baharu.
“Saya lihat kita boleh teliti apa bentuk bantuan yang boleh kita salurkan untuk membantu membangunkan semula kawasan ini dalam tempoh yang akan datang,” katanya.
Dalam kejadian pukul 11 malam tadi, sebanyak 14 rumah setinggan dan empat premis kedai termasuk Mydin Mart dan Pasaraya Karnival musnah dijilat api.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaporkan, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan perumahan berkeluasan anggaran 0.074 hektar serta premis kedai dengan keluasan 0.223 hektar. – UTUSAN









