Azizee Ismail dilantik Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu

Azizee Ismail dilantik Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu

PENGARAH Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Abdul Aziz Abdul Majid (tengah) menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas antara Mohd. Alwi Zainal Abidin (kiri) dan Azizee Ismail (kanan) di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Azizee Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu berkuat kuasa hari ini. 

Azizee mengambil alih tugas Datuk Seri Hamzah Ahmad yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman. Jawatan itu sebelum ini dipangku Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin.

Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Pulau Pinang itu diadakan di Mes Pegawai Kanan Polis Pulau Pinang disaksikan Pengarah Pengurusan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.

Azizee berkata, beliau akan terus mengekalkan segala pelan sedia ada sambil melaksanakan penambahbaikan selepas mengadakan perbincangan bersama Ketua Jabatan dan Ketua Polis Daerah  dalam masa terdekat.

“Melihat kepada situasi semasa, saya akan cuba mengekalkan apa yang telah ada dan segala penambahbaikan akan dilakukan selepas perbincangan,” katanya selepas majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Polis Pulau Pinang di sini hari ini.

Menurut Azizee, beliau difahamkan bahawa kadar jenayah di daerah Timur Laut menunjukkan penurunan berbanding sebelum ini. 

Sehubungan itu, katanya, pihaknya komited untuk mengekalkan prestasi tersebut dan berusaha menguranginya lagi ke tahap yang lebih baik pada masa hadapan.

Azizee, 59, memulakan kerjaya sebagai Inspektor Polis (Insp) pada tahun 1993 di Jabatan Logistik dan Teknologi, bertugas sebagai Pegawai Pembangunan. 

Sepanjang hampir 32 tahun perkhidmatan, beliau menggalas pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Unit Projek (Pengurusan Fasiliti), Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang serta Pegawai Turus Pembangunan dan Penyelenggaraan di jabatan sama. 

Sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan dengan pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) sejak 22 Julai 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN