PUTRAJAYA: ASEAN tidak perlu campur tangan secara menyeluruh dalam menangani konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja memandangkan usaha penyelarasan dua hala yang sedang dipacu Malaysia menunjukkan perkembangan positif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua Menteri Pertahanan negara terlibat telah memberi komitmen untuk mematuhi syarat-syarat ketat bagi menjamin pematuhan sepenuhnya terhadap kawalan senjata di kawasan sempadan.
Anwar yang juga Pengerusi ASEAN berkata, komitmen itu dizahirkan ketika kunjungan hormat Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Nattaphon Nakphanit dan Menteri Pertahanan Kemboja, Tea Seiha ke atas beliau di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Perdana Menteri menegaskan, pendekatan dua hala antara Kemboja dan Thailand dengan diselaraskan oleh Malaysia adalah memadai tanpa perlu penglibatan menyeluruh ASEAN.
“Saya sudah berjumpa dengan Menteri Pertahanan Thailand dan Kemboja. Sebelum sesi penyelarasan yang dikendalikan oleh Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera, kita sudah bincang secara terperinci perkara yang perlu dipatuhi di sempadan.
“Dan saya rasa tidak perlu lagi campur tangan ASEAN secara menyeluruh. Mereka mendukung ikhtiar ini dan memadai Malaysia dan menekankan kerjasama dua hala Kamboja dan Thailand,” katanya ketika ditemui selepas sesi libat urus Belanjawan 2026 di Kementerian Kewangan, hari ini.
Anwar berkata, hasil perbincangan itu menzahirkan kesediaan kedua-dua negara agar Malaysia terus memainkan peranan sebagai penyelaras utama.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya sehingga kini, mereka mahu Malaysia teruskan penyelarasan. Mereka beri komitmen untuk mematuhi syarat-syarat menjamin genjatan senjata itu diamalkan sepenuhnya,” katanya.
Tambah beliau, meskipun masih terdapat satu dua isu kecil, ia diyakini dapat diselesaikan dalam masa terdekat hasil rundingan berterusan antara pihak-pihak berkaitan.
“Kita bincang tadi dengan kedua-dua Menteri Pertahanan dan kemudian, atase pertahanan ASEAN akan bersama memantau,” jelas beliau.
Jelasnya, Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan keselamatan kawasan sempadan kedua-dua negara berjiran itu, dengan sokongan penuh daripada ASEAN.
Anwar turut menegaskan bahawa kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat tidak terlibat secara langsung dalam pengawasan sempadan tersebut.
“Mereka hanya menawarkan kerjasama dan bantuan logistik sekiranya perlu, dan tentunya kita sebut hanya bila perlu,” ujar beliau.
Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja tercetus dengan insiden tembak-menembak yang singkat pada 28 Mei lepas sebelum memuncak kepada konflik bersenjata pada 24 Julai.
Setakat 26 Julai, pertempuran antara kedua-dua negara berjiran itu telah meragut sekurang-kurangnya 32 nyawa dan memaksa sehingga 200,000 penduduk berpindah dari kawasan sempadan yang terjejas.
Namun, usaha berterusan untuk meredakan krisis itu akhirnya membuahkan hasil melalui rundingan secara bersemuka di Putrajaya hasil inisiatif Anwar untuk satu pertemuan diplomatik yang bersejarah itu melibatkan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet. – UTUSAN