TIDAK pasti sama ada algoritma selalu menghantar kita kepada khabar buruk atau memang berita sensasi yang tidak sedap didengar lebih mudah tular. Namun, begitulah keadaanya setiap kali mengakses media sosial, ada sahaja isu rumah tangga, buli, gosip artis bertebaran di sana sini. Pelakon, Datuk Remy Ishak juga tidak menafikan perkara itu walaupun mengakui sudah jarang berminat membaca cakap-cakap orang di media sosial.
Remy atau Mohamad Zalimei bin Ishak, 43, bagaimanapun optimis bahawa banyak sahaja khabar baik dan cerita positif berlaku di sekeliling kita walaupun tidak ramai yang berminat memperkatakannya.
Bagi pelakon filem Pulang itu, di sinilah letak peranan selebriti sebagai figura popular untuk terus menyampaikan kebaikan di media sosial.
“Saya akui memang banyak benda negatif yang terjadi di luar sana. Mungkin algoritma media sosial itu sendiri yang banyak menyajikan benda negatif, menyebabkan kita rasa ia banyak berlaku di sekeliling kita.
“Tapi sebenarnya banyak sahaja perkara positif berlaku di sekeliling kita cuma mungkin tak dihebahkan kepada orang ramai.
“Pembabitan orang-orang yang dikenali ini untuk mengekalkan positif dalam dunia (hiburan) sangat penting. Tenaga negatif memang ada di mana-mana. Buka sahaja media sosial, semuanya tentang perkara toksik dan tak bagus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas bapa kepada seorang anak itu lagi, selebriti tidak seharusnya takut untuk menyuarakan pendapat dalam memperjuangkan kebaikan walaupun kadangkala tidak selari dengan pendapat sesetengah pihak.
“Tugas kita adalah untuk lawan balik segala perkara toksik bagi memberikan keseimbangan.
“Mungkin ada yang takut memberi pendapat sebab ada yang tidak bersetuju. Tapi perkara ini sudah berlaku dari dulu lagi.Apa sahaja yang kita cakap, pasti akan ada orang yang tidak bersetuju.
“Tetapi yang paling penting adalah untuk kita tampil bersuara. Sekurang-kurangnya, sebagai figura awam, kita sudah jalankan tanggungjawab untuk memberitahu apa yang betul berdasarkan pemikiran kita.
“Kita juga perlu akur bahawa semua orang membesar dengan sistem nilai masing-masing” ujarnya.
Belum boleh rehat
Dalam perkembangan lain, Remy mengakui jadual hariannya masih sibuk dengan tawaran pekerjaan walaupun sebelum ini pernah bertekad untuk bercuti daripada dunia lakonan.
“Saya jarang kemas kini aktiviti harian di media sosial tapi sebenarnya di dunia nyata sibuk dengan tawaran pekerjaan. Saya baru sahaja selesai penggambaran filem Mikail arahan Zairul Omar.
“Belum sempat mahu cuti. Sebelum ini sudah janji dengan diri sendiri untuk mahu berehat sebab mahu beri tumpuan kepada keluarga. Saya mahu menemani anak saya yang sedang membesar.
“Tapi stesen TV baru panggil untuk tawaran satu siri drama yang susah saya nak tolak kerana skripnya bagus. Kemudian sambung lagi penggambaran projek bersama platform penstriman sehingga tahun hadapan” tambahnya.
Ditanya apa yang ingin dilakukan Remy sekiranya diberi ruang untuk berehat, suami kepada usahawan, Ezza Yusuf hanya mahu meluangkan masa bersama keluarga terutama anaknya, Tuah Alam yang sedang membesar.
“Sekarang memang fokus saya mahu beri fokus kepada keluarga. Saya fikir kalau berehat berlakon, saya akan buat kerja sebagai duta atau buat kempen di media sosial.
“Apapun, saya tahu bila darah jadi pelakon, kita tidak boleh rehat lama-lama. Tambahan pula saya orang yang kuat bekerja, baru rehat dua minggu sudah gatal tangan mahu bekerja,” katanya ketawa.