KUALA TERENGGANU: Ilmu taranum al-Quran kini melangkah ke fasa baharu apabila Seminar Asas Taranum al-Quran Siri 1 yang berlangsung di Masjid Tengku Besar, Kampung Kubang Ikan baru-baru ini mencatat sejarah tersendiri sebagai pentas pelancaran aplikasi mudah alih Taranum al-Quran, yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Program anjuran bersama Pertubuhan Sahabat Al-Quran Terengganu dan Akademi Al-Quran Al-Hadi, dengan kerjasama strategik Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), menyaksikan lebih 160 peserta dari seluruh negeri hadir, termasuk dari kawasan pedalaman seperti Hulu Terengganu dan Dungun.
Timbalan Dekan Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT, Prof Madya Dr Abdul Hanis Embong berkata, aplikasi Taranum al-Quran dibangunkan hasil penyelidikan UMT bersama syarikat teknologi pendidikan, Oxford EduVision (M) Sdn. Bhd. dan boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Play dan App Store.
“Aplikasi itu memuatkan pelbagai komponen pembelajaran seperti audio bacaan taranum oleh qari tersohor, video penerangan bertahap, latihan makhraj, e-book dan modul interaktif sekal
gus membuka akses baharu kepada pembelajaran kendiri seni bacaan al-Quran berlagu.
“Ini satu titik tolak revolusi pembelajaran taranum secara digital yang membolehkan orang awam mempelajari ilmu ini dengan lebih mudah, sistematik dan tersusun. Tidak hanya untuk golongan tertentu,” katanya ketika merasmikan seminar tersebut.
Seminar tersebut juga menggunakan Modul Asas Taranum al-Quran: Teori dan Praktikal dengan Panduan Video, hasil penulisan Mudir Akademi Al-Quran Al-Hadi, Ustaz Abdul Hadi Che Abd Halim yang tokoh ternama dalam dunia tilawah al-Quran tempatan dan antarabangsa.
Dalam pada itu Abdul Hadi berkata, modul tersebut bukan sekadar mengajar teknik lagu, tetapi menyusun pembelajaran dari asas hingga mahir dengan kefahaman mendalam terhadap maqam, nada dan struktur taranum yang sebenar.
“Seminar ini turut menekankan bahawa taranum bukanlah hiburan atau sekadar ‘memperlagukan’ bacaan secara semberono. Ia adalah seni bacaan yang berpaksikan adab dan disiplin tradisi Islam. Ini usaha serius dalam membendung penyalahgunaan melodi dalam bacaan al-Quran serta memperbetulkan persepsi masyarakat tentang seni ini yang sering disalah tafsir.
“Taranum bukan untuk menghibur. Ia satu bentuk ibadah yang memperindah bacaan al-Quran secara beradab dan terkawal, berbeza dengan nyanyian bebas atau irama tidak berlandaskan maqam seperti balada, jazz atau lagu popular yang tidak sesuai disatukan dengan al-Quran,” tegasnya.
Sementara itu, wakil penganjur, Ahmad Zaidi MUstaffa menyeru seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau tahap penguasaan untuk menyertai siri seminar akan datang, serta memanfaatkan sepenuhnya aplikasi Tarannum al-Quran sebagai alat bantu pembelajaran kendiri yang berkualiti dan mesra pengguna.
“Program ini dijadualkan berlangsung dalam tujuh siri, dengan siri kedua bakal diadakan bulan ini di Hulu Terengganu dan siri ketiga pada September di Kampus UMT, Kuala Nerus.
“Dengan gabungan modul tersusun, bimbingan pakar dan sokongan digital, Seminar Asas Tarannum al-Quran bukan sahaja membuka jalan baharu dalam pendidikan al-Quran, malah membuktikan bahawa seni tarannum kini mampu dicapai oleh semua, dalam suasana yang lebih moden, beradab dan penuh hikmah,” katanya.