PETALING JAYA: Sejak kebelakangan ini, ramai golongan selebriti tampil berani bersuara mengenai isu buli di sekolah susulan kes kematian pelajar sekolah agama, Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 16 Julai lalu.
Tidak terkecuali menuntut keadilan bagi pelajar tersebut, pelakon, Mimi Lana juga dilihat lantang menggesa orang ramai supaya terus menyuarakan tentang kes terbabit supaya gejala buli dapat dibanteras segera.
“Sama ada dia dibunuh atau tidak, faktanya adalah dia dibuli dan pembuli-pembuli itu masih bebas di luar sana.
“Apa lagi yang kita tunggu? Sampai ada lagi budak yang terkorban baru nak bertindak?
“Kita tak boleh diam lagi. Benda ni dah jadi barah dalam masyarakat. Budaya buli di sekolah bukan hal biasa.
“Ia bunuh jiwa, bunuh harapan, dan kali ini, ia bunuh nyawa,” dakwanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Dalam masa sama, pelakon drama bersiri Perempuan Itu itu tegas meluahkan kemarahannya terhadap sistem yang dipercayai gagal membantu adik Zara meskipun sudah berkali-kali memberi bayangan dan isyarat mengenai penderitaan yang dihadapinya.
“Kita perlu keadilan untuk adik Zara, sekarang! Adik Zara, seorang murid sekolah. Berulang kali menyuarakan penderitaan dia, menyebut satu persatu nama pembuli yang menyeksa dia secara fizikal dan mental.
“Dia dah minta tolong, dia dah bagi petunjuk tapi suara dia tak pernah benar-benar didengari sehingga dia akhirnya ‘pergi’,” dakwanya lagi.
Mimi bagaimanapun sempat menitipkan doa buat Zara agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam syurga Allah SWT.
Sekadar info, Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital keesokannya.
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan yang dipercayai masih bebas sehingga kini.-UTUSAN