SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat konstabel yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Bezza dekat Temiang di sini awal pagi tadi maut selepas hampir satu jam bertarung nyawa di hospital.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, mangsa Naim Mullah Mohd. Affandi, 23, yang bertugas di Balai Polis Jalan Campbell di sini mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.
Mohamad Hatta berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon kecemasan pada pukul 2.24 pagi.
“Pada pukul 1.01 pagi tadi telah berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta Perodua Bezza berhampiran Sekolah Kebangsaan Temiang di sini.
“Siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 bergerak dari arah Seremban ke Temiang, apabila sampai di lokasi kemalangan sebuah Perodua Bezza yang dipandu dari Temiang menghala ke Seremban telah hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Jelas Mohamad Hatta, ketika kejadian kemalangan mangsa dikatakan sedang bertugas.
Menurut beliau, pemandu kereta Perodua Bezza seorang lelaki berusia 26 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan dan ditahan untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati pemandu kereta itu disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol, sampel darah telah diperoleh dan akan diuji di Jabatan Kimia. Mahkamah telah memerintahkan pemandu Perodua Bezza tersebut direman selama enam hari bermula hari ini,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – UTUSAN










