KUALA LUMPUR: Anggota polis yang cedera akibat ditikam seorang lelaki di Pasar Pudu, Jalan Yew di sini melaksanakan tugas rondaan mengikut standard operasi prosedur (SOP) yang ditetapkan.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, justeru itu tidak timbul soal SOP memandangkan anggota itu mematuhi prosedur termasuk sistem ‘buddy’ ketika rondaan dilakukan.
“Cuma kita harap anggota ini semua akan dibekalkan dengan kamera badan selepas ini memandangkan tidak semua anggota bertugas dibekalkan dengan peralatan itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pada 31 Julai, Koperal Mohd Nadzri Sudiman, 35, cedera pada bahagian perut akibat ditikam seorang lelaki berhampiran Pasar Pudu dalam satu kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari ketika sedang melakukan tugasan rondaan cegah jenayah di kawasan terbabit.
Mohamed Usuf berkata, kertas siasatan sudah lengkap dan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam tempoh terdekat.
Katanya, anggota polis itu dilaporkan stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa pada Sabtu lalu serta berkemungkinan akan dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh seminggu lagi.
“Setakat ini, anggota itu masih dalam pemantauan kerana bimbang kemungkinan berlaku pendarahan dalaman atau sebarang jangkitan. Namun Insya-Allah dia dijangka pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Luka tikaman itu bersaiz kira-kira tiga sentimeter lebar dan tujuh sentimeter dalam dan dia bernasib baik kerana tidak mengenai organ penting dan hanya mengenai usus kecil,” katanya.-UTUSAN










