Anak jadi mangsa buli, Ning Baizura jumpa keluarga pelaku - Utusan Malaysia

Anak jadi mangsa buli, Ning Baizura jumpa keluarga pelaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: “Anak saya juga merupakan mangsa buli.”

Demikian pendedahan penyanyi, Ning Baizura ketika meluahkan kebimbangannya mengenai isu buli yang semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Ning berkata, anaknya, Ryan Sky Dalton menjadi mangsa ejekan rakan-rakannya di platform Whatsapp kerana fizikalnya yang dikatakan berdahi jendul.

“Apa yang saya lihat gejala buli pada zaman ini sangat menakutkan kerana bukan sahaja berlaku secara fizikal tetapi siber juga. Anak saya diejek macam-macam kerana berdahi jendul bahkan mengutuk ahli keluarga.

“Perkara itu juga saya lihat seperti sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan mereka sehinggakan saya sendiri perlu berjumpa dengan ibu bapa rakannya itu untuk berbincang secara baik tanpa melibatkan pihak sekolah.

“Saya turut sertakan bahan bukti dengan menunjukkan tangkap layar butiran perbualan tersebut,” katanya ketika ditemui di sidang media Kilauan Emas musim kelapan (KE), pada Selasa.

Tambah Ning, perkara itu juga secara tidak langsung menjejaskan keyakinan diri dan emosi anaknya yang enggan memotong rambutnya demi menutup dahimya yang luas.

“Anak saya seorang yang ceria. Saya dan suami mula menyedari perubahan sikap dan perwatakan dia kerana dia tidak mahu potong rambut dan kerap menutup bahagian dahi.

“Setelah dipujuk barulah dia maklumkan bahawa dirinya diejek kerana dahinya jendul. Sebagai ibu bapa, saya cuba yakinkan dia mengenai penampilannya.

“Saya juga memberi dia ruang untuk selesaikan masalah itu secara matang dengan rakannya. Akhirnya, budak itu minta maaf kepadanya,” jelasnya.

Mengenai program Kilauan Emas 2025, Ning dilantik menjadi juri tetap baharu untuk musim kali ini bersama primadona Filem Melayu Alaf Baharu, Erra Fazira dan pelawak Roy Azman.

Seramai 12 peserta bertanding bagi program itu yang bakal menemui penonton pada setiap Sabtu di saluran 105 (Astro Prima) bermula 16 Ogos ini.

Program itu dikendalikan personaliti popular Elly Mazlein selaku hos utama bersama Joey Daud sebagai pengacara belakang pentas dan hos Diari Kilauan Emas.

Terdahulu, Ning mendirikan rumah tangga dengan Omar Shariff Christopher Layton Dalton pada Januari 2008.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN