Anak-anak Emma Maembong sudah jumpa DJ Kidd, tapi secara spontan - Utusan Malaysia

Anak-anak Emma Maembong sudah jumpa DJ Kidd, tapi secara spontan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Emma Maembong mengakui jejaka yang digosipkan dengannya, DJ Kidd sudah beberapa kali berjumpa keluarga dan dua orang anaknya.

Namun begitu, menurut Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 33, pertemuan itu berlaku secara spontan tanpa niat khusus.

“Setakat ini kebanyakan pertemuan antara dia dan anak-anak, ayah serta adik-beradik saya berlaku secara tak sengaja.

“Kalau kata merancang untuk jumpakan dia dengan seluruh ahli keluarga saya, setakat ini memang tak ada lagi ke arah itu,” katanya. 

 Emma yang ditemui Utusan Malaysia semasa majlis sidang media drama Seadanya Kita untuk platform VIU, di sini semalam.

Bagaimanapun, pelakon itu enggan terburu-buru melangkah ke fasa lebih serius dengan deejay kelab malam itu sebaliknya menyerahkan urusan jodoh kepada takdir.

“Kita berkenalan dulu, tak perlu terburu-buru. Saya pun dah pernah berkahwin sebelum ini, jadi kita kenal-kenal dulu.

“Setakat ini belum terfikir lagi sampai ke fasa-fasa seterusnya. Lagipun saya ada anak-anak dan keluarga.

“Saya juga takkan war-warkan mahupun menidakkan hubungan kami. Sebaliknya biarlah Allah tentukan arah jodoh kami,” katanya.

Sementara itu, Emma berkata, dirinya lebih selesa menjaga privasi termasuk dan tidak akan sesekali memuat naik video percintaan di media sosial.

“Kenapa saya tak muat naik kehidupan peribadi di laman sosial kerana bagi saya kisah hidup saya tak penting dan tak mendatangkan apa-apa faedah untuk orang tahu.

“Tapi kalau ada orang yang nak muat naik, saya tak boleh nak halang dan saya tak marah. Mungkin hidup saya dikelilingi orang yang suka berkongsi aktiviti di laman sosial.

“Saya seorang yang sangat privasi, kalau benda boleh saya sorok kenapa tidak? Lagipun ini bukanlah satu benda untuk dibanggakan,” katanya.

Terdahulu, Emma mencuri tumpuan apabila tular sebuah video pelakon itu hadir ke acara Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 bersama DJ Kidd. Emma tampil dengan gaun hijau neon berkorset merah jambu sementara pasangannya mengenakan blazer merah jambu.

Sebelum ini, timbul gosip mengatakan Emma sudah berkahwin dengan DJ Kidd namun cepat-cepat dinafikan Emma.

Pada Oktober lalu, Emma mendedahkan sudah bercerai dengan Muhammad Shazli Azhar selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shariq Gabriel, 5 dan Shakil Aryan Shah yang kini berusia dua tahun. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN