Ambil tindakan tegas ugutan terhadap Rafizi

Ambil tindakan tegas ugutan terhadap Rafizi

HASSAN Abdul Karim (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada beberapa asnaf di Kampung Bendahara, Johor Bahru hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu ambil tindakan tegas terhadap beberapa insiden yang menjejaskan imej negara termasuklah serangan terhadap anak bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, Rabu lalu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pihaknya bimbang sekiranya tiada tindakan diambil akan mewujudkan tanggapan seolah-olah ada tangan ghaib atau ‘deep state’ di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta jemaah menteri bertindak pantas mengatasi perkara ini.

“Kerajaan ada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk undang-undang, tetapi perkara seperti ini masih boleh berlaku menyebabkan rakyat berasa tidak selamat, seolah-olah ada ‘deep state’ atau tangan ghaib yang profesional di belakang.

“Ugutan terhadap ahli politik, kejadian buli di sekolah, tahanan maut dalam lokap atau penjara, kes-kes seperti ini walaupun tidak banyak tetapi ia berlaku, jadi jangan biarkan tiada tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku.

“Kita tuntut kepakaran pihak berkuasa untuk tangani perkara ini, negara ini ada undang-undang ia bukanlah negara mafia, kejadian terkini menyebabkan ramai pihak takut untuk tampil bersuara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada asnaf di Kampung Bendahara, di sini hari ini.

Beliau sehubungan itu turut mendesak satu siasatan yang telus dan bertanggungjawab oleh menteri-menteri terlibat dalam portfolio masing-masing.

“Kita tidak menyalahkan menteri-menteri ini, kerana mereka masih baharu dan kejadian ini sudah berlanjutan lama, tetapi perlu ada tindakan proaktif, antaranya jangan sembunyikan masalah, hadapi dan bertindak.

“Ugutan terhadap Rafizi ini telah menjadikan politik Malaysia kebelakang, insiden-insiden lain turut merosakkan imej negara bukan sahaja pada mata rakyat, tetapi juga masyarakat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN