All That’s Left of You: paling menikam, menghenyak perasaan - Utusan Malaysia

All That’s Left of You: paling menikam, menghenyak perasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada sejenis luka yang tidak mungkin sembuh dengan masa. Tiga keturunan pun tetap berbekas ngilu, dendam dan kelat apabila segala yang dimiliki dirampas. Tidak pula terfikir, syot pembuka All That’s Left of You yang girang, dua remaja kacak ketawa berlari-lari di bawah panggang matahari lorong Nablus diapit bangunan serba keperangan akan mengheret, merentap saya kepada kesedihan begitu dalam.

Seperti kata penyair asal Palestin, Mahmoud Darwish, keperitan Palestin perlu diceritakan sendiri orang-orangnya. Cerita-cerita ini yang akan mengikat generasi demi generasi agar tetap mengenal siapa sebenarnya mereka sebelum, semasa bahkan selepas tragedi Nakba 1948. Sutradara Palestin-Amerika, Cherien Dabis dengan segala magis mengisi kerusi yang kosong itu.

“Kamu mungkin tak kenal siapa kami, tidak mengapa, saya hanya ingin bercerita siapakah anak saya. Tapi untuk mengenal siapa anak saya, kamu perlu mengenal siapa atuknya,” Hannan yang dilakonkan Dabis sendiri membuka naratif lebih besar, bagaimana trauma dan luka rakyat Palestin setiap generasi dibuka dan tidak mungkin sembuh.

Cerita dimulakan dengan atuknya, Sharif yang sebenarnya seorang elit dan hartawan di era 80-an kerana memperoleh perniagaan eksport oren di Jaffa, Palestin. Hanya menonton filem ini saya tahu bagaimana bahagianya rakyat Palestin sebelum Nakba. Mereka ada segalanya yang dimiliki layaknya negara merdeka baik hal besar seperti sistem politik, bandar moden, sehinggalah hal sesederhana temu janji di panggung wayang.

Kemudian All That’s Left of You mengheret kita untuk turut menyaksikan bagaimana hal yang paling disayang dirampas satu persatu baik tanah, rumah, kedai, kebun oren, perasaan ingin bebas dan tentu sahaja impian. Dalam durasi dua jam 25 minit, Dabis bijak memilih dan meletakkan mozek-mozek paling jujur dan meruntun daripada setiap generasi. Sharif sudah menua, namun sesekali dia kerap terkenang ladang orennya, bak kata Sharif, semakin dekat dengan tanah, semakin dekat kita dengan Tuhan.

Tanpa menghilangkan Sharif, cerita anaknya Salim dan cucunya Noor mengambil alih ruang di layar. Noor tidak pernah merasa maksud merdeka, hanya daripada cerita-cerita atuknya sahaja. Tapi Noor tahu, ini bukan kehidupan yang perlu diterima. Dia perlu bangun dan melawan.

Mungkin menjadi antara babak kesukaan saya yang membekas bagaimana Noor dan Salim ditahan IDF, askar-askar celaka itu mempersendakannya, membiarkan mereka melutut dan menghinanya. Ketika itu mata Noor membara, dia mula kenal siapa musuhnya. Mungkin kerana penonton ikut membesar bersama Noor sepanjang menonton filem ini, maka ada beberapa babak yang mengejutkan (sedaya upaya tidak diceritakan bagi mengelak spoiler) namun cukup kuat merentap emosi, membuatkan kita tidak siap melepaskannya dari layar.

Ketika kita menyangka filem ini sudah hampir ke penghabisan kerana jujur, ia memang menekan emosi dan mencengkam dada, All That’s Left of You rupanya menunjukkan sisi lebih rumit dan kompleks. Bolehkah askar Israel yang dibenci Noor mempunyai hati seorang rakyat Palestin?

Dabis tidak didaktik membawakan naratif Palestin-Israel. Di tangannya, cerita ini seumpama memeluk, menunjukkan betapa luhur namun payahnya untuk menjadi sekadar manusia. Dia membuat kita terfikir, betapa indahnya dunia andai sahaja hal celaka dan manusia tidak berhati perut ini tidak wujud selamanya.

All That’s Left of You terasa ‘keibuan’ sekali. Dabis tidak keras membawakan siapa petualang, siapa penentang. Tapi dia menunjukkan bagaimana seorang ibu, ayah dan anak hanya mahu terus hidup tanpa rasa cemas dan dendam yang bersua juga percaya, luka tidak mengikuti mereka selamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN