TANJUNG MALIM: Naskah al-Quran tulisan tangan Allahyarham Nurly Shahirah Azman diserahkan secara sementara oleh warisnya kepada Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini bagi tujuan proses pendigital dan tatapan umum.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, naskah itu membuktikan ketekunan dan kesungguhan Allahyarham menyalin ayat-ayat suci al-Quran sepanjang pengajiannya di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Besut, Terengganu dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.
“Proses pendigitalan ini bertujuan memastikan naskah berkenaan dapat dipelihara dengan rapi untuk jangka masa panjang di samping menghasilkan salinan digital yang lengkap dan berkualiti tinggi sebagai koleksi dan sumber kajian perpustakaan.
“Selain itu, pendigitalan ini memberi ruang kepada masyarakat umum, pelajar serta penyelidik untuk mengakses dan merujuk naskah tersebut tanpa menjejaskan keaslian manuskrip asal,” katanya di sini hari ini.
Bagi Ketua Pustakawan UPSI, Noriha Muhammad, usaha murni itu dilakukan oleh kakitangan UPSI Digital Library (UDL) yang bertanggungjawab dalam penyediaan imej digital resolusi tinggi supaya setiap helaian al-Quran tulisan tangan ini dapat direkodkan dengan tepat dan jelas.
“Proses pendigitalan dilaksanakan dengan beberapa tujuan utama iaitu memastikan naskhah tulisan tangan ini dapat dipelihara dengan baik untuk jangka masa panjang sekaligus mengurangkan risiko kerosakan akibat faktor usia, persekitaran atau penggunaan berulang.
“Usaha ini secara tidak langsung menyokong pemeliharaan warisan intelektual dan kerohanian umat Islam selain menjadi amal jariah berterusan buat Allahyarham Nurly Shahirah,” katanya.
Katanya lagi, naskah tulisan tangan itu akan dipamerkan secara eksklusif di Aras 1, Perpustakaan Tuanku Bainun bermula hari ini sehingga 2 September depan.
“Pameran ini membuka ruang kepada orang ramai yang sebelum ini mempunyai kekangan untuk melihat naskhah tersebut di Besut, Terengganu agar dapat menelusuri sendiri hasil usaha Allahyarham Nurly Shahirah yang gigih menulis keseluruhan naskah tulisan tangan al-Quran.
“Ini bukan sahaja bertujuan menonjolkan keindahan seni tulisan tangan al-Quran malah sebagai penghargaan terhadap ketabahan dan ketekunan Allahyarham Nurly Shahirah selain memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai al-Quran dan menjadikannya sumber motivasi dalam pengajian dan kehidupan seharian,” katanya.
Allahyarham Nurly Shahirah dan 14 pelajar UPSI lain maut dalam nahas apabila bas sewa khas dinaiki mereka terbalik selepas melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik pada 9 Jun lalu.
Bas itu dalam perjalanan menuju ke kampus UPSI dari Jerteh, Terengganu. – UTUSAN