KUALA LUMPUR: Penghayatan al-Quran tidak seharusnya terhenti pada bacaan mengikut disiplin tajwid dan taranum semata-mata, sebaliknya perlu diselami maksudnya, ditadabbur dengan penuh penghayatan dan dijadikan panduan hidup.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, apabila isi kandungan al-Quran dihayati secara menyeluruh, ia mampu memupuk penbinaan masyarakat berakhlak mulia berlandaskan nilai Islam yang sebenar.
Beliau berkata, bagi memastikan pembangunan al-Quran terus kukuh, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang merangkumi aspek pendidikan, penyelidikan, penghayatan serta penyebaran mesej al-Quran di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Salah satunya adalah dengan menjadikan Darul Quran sebagai pusat rujukan tahfiz profesional yang melahirkan ribuan huffaz berkaliber.
“Program Tahfiz TVET juga diperkenalkan bagi melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menguasai hafazan, tetapi memiliki kemahiran teknikal, keusahawanan dan kepakaran yang dapat dimanfaatkan kepada negara dan ummah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 Tahun 1447H/2025M di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Turut hadir dalam majlis sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Imam Masjid al-Nabawi, Sheikh Dr. Salah Muhammad al-Budair.
Beliau berkata, penghayatan al-Quran dalam kalangan generasi muda turut diperkasa melalui penggunaan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI), bagi memastikan penyebaran ilmu al-Quran lebih meluas dan berkesan.
“Usaha itu dilipat gandakan demi membentuk generasi madani berjiwa Qurani yang mampu menguasai ilmu, teknologi dan moral Islam untuk memberi manfaat kepada dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengilhamkan Program Wakaf Sejuta al-Quran yang menterjemah kitab suci itu ke bahasa-bahasa utama dunia.
Katanya, program tersebut melambangkan komitmen negara dalam memanfaatkan diplomasi agama sebagai jambatan hubungan dengan masyarakat antarabangsa, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai pusat penyebaran ilmu al-Quran yang disegani.
“Program tersebut dilaksanakan bagi membolehkan mesej Islam disebarkan dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa.
“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan masyarakat dunia memahami isi kandungan al-Quran, malah menjadi usaha berterusan Malaysia untuk memperkukuh kefahaman Islam yang sebenar serta menangani isu Islamofobia yang semakin membimbangkan,” katanya.