Akta Orang Asli tidak dipinda hampir 70 tahun – Ramli

Akta Orang Asli tidak dipinda hampir 70 tahun – Ramli

RAMLI MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Undang-undang berkaitan Orang Asli perlu dipinda selepas hampir tujuh dekad supaya lebih relevan dengan keperluan semasa masyarakat golongan itu.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor berkata, akta berkenaan kali terakhir dipinda pada tahun 1974, sedangkan undang-undang asalnya digubal ketika zaman darurat dengan tujuan utama melindungi Orang Asli daripada ancaman komunis.

“Akta Orang Asli ini sudah hampir 70 tahun tidak pernah dipinda. Kali terakhir cuma ada perubahan kecil pada 1974. Pada asalnya ia digubal semata-mata untuk melin­dungi Orang Asli daripada pengaruh komunis pada zaman darurat.

“Namun hari ini keadaan sudah jauh berbeza. Orang Asli perlukan perlindungan undang-undang yang lebih menyeluruh, termasuk soa hak tanah, pendidikan, kebajikan serta peluang ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga satu-sa­tunya ahli Parlimen mewakili Orang Asli menegaskan, pindaan itu penting bagi mengiktiraf Orang Asli sebagai sebahagian daripada bumiputera selaras dengan semangat Per­kara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah serta Sarawak.

Katanya, inisiatif membawa pindaan tersebut adalah hasil usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang bertekad menjadikan kesejahteraan masyarakat Orang Asli sebagai agenda utama kerajaan.

“Saya sudah menghantar usul berkaitan Orang Asli ini, namun belum dibentangkan lagi.

“Bagaimanapun, atas ini­siatif Timbalan Perdana Men­teri, pindaan ini akan dibentangkan pada penggal Parlimen Oktober ini. Insya-Allah, ia memberi ruang baharu kepada Orang Asli untuk lebih maju dan dilindungi,” kata Ahli Parlimen Cameron Highlands itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN