PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Salleh bakal berhadapan satu pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Jumaat ini.
Menurut Dr. Muhammad Akmal, perkara itu dimaklumkan polis ketika beliau kini sedang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.
“Justeru, saya akan pendekkan umrah saya dan akan pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan tersebut pada hari Jumaat ini di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pukul 8.00 pagi
“Mohon doakan saya. Jika ini harga yang saya perlu bayar untuk memartabatkan kedaulatan negara, saya tidak akan berganjak walau seinci sekalipun,” katanya dalam hantaran Facebook beliau.
Sebelum ini, Dr Muhammad Akmal bertindak mengetuai perarakan di Kepala Batas pada 14 Ogos lalu berhubung isu Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis perniagaan.
Tindakan tersebut mencetuskan kecaman pelbagai pihak khususnya pemimpin parti politik daripada DAP.-UTUSAN