Timbul desas-desus terbaharu melibatkan penyanyi bersuara lantang dan berkarisma. Siapa lagi jika bukan Aina Abdul.
Khabarnya, bintang kelahiran Johor itu dikatakan tidak lagi berminat untuk bertanding di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL).
Bagi Cik Bunga sendiri, berita ini cukup mengejutkan. Maklumlah, selama ini nama Aina Abdul sudah sinonim dengan persembahan luar biasa yang sering menjadi tumpuan saban tahun. Bermakna orang ramai memang hendak tengok persembahannya pada setiap kali sebab Aina pandai tampil dengan kejutan.
Dari bisik-bisik yang Cik Bunga dengar, keputusan Aina ini kononnya dibuat kerana dia sendiri sudah mula berasa penat.
Difahamkan, penyanyi berbakat besar ini bukan sahaja sibuk di depan pentas, tetapi juga ligat dengan kerja-kerja seni di belakang tabir. Selain menghasilkan lagu untuk dirinya sendiri, Aina juga khabarnya banyak terlibat dalam proses kreatif untuk artis lain.
Semua ini menuntut masa dan tenaga yang bukan sedikit. Justeru, berehat daripada pertandingan besar seperti AJL mungkin menjadi jalan terbaik untuk Aina menjaga kesihatan mental dan fizikalnya.
Ada juga desas-desus yang mengatakan Aina ingin mengambil peluang ini untuk menumpukan perhatian kepada penghasilan lagu-lagu terbaharu.
Dengarnya, Aina dikatakan mahu memberi ruang kepada dirinya untuk berkarya dengan lebih tenang, tanpa tekanan persaingan atau tarikh akhir pertandingan.
Sebagai seorang penggiat seni, bagi Cik Bunga, berehat seketika bukan bermakna mengundur diri sepenuhnya, betul tak? Kadang-kadang, mengambil masa untuk diri sendiri adalah kunci untuk muncul dengan karya yang lebih segar dan bermakna.
Cik Bunga percaya, walaupun tidak bertanding di AJL, Aina tetap akan terus bersinar dengan caranya yang tersendiri.
Dan siapa tahu, selepas berehat seketika, Aina kembali dengan lagu dan persembahan yang lebih memukau daripada sebelumnya?
Sama-samalah kita nantikan. Yang penting tunggu penjelasan Aina.