Tidak cuma Cik Bunga, tetapi kehairanan besar turut menyelubungi peminat industri hiburan tanah air apabila nama penyanyi bersuara emas, Aina Abdul, tidak tersenarai dalam beberapa kategori pencalonan Anugerah MeleTOP Era (AME) 2025.
Lebih membingungkan, drama popular terbitan Viu, Bidaah, yang meraih sambutan hangat di Malaysia, Indonesia, dan Brunei pun dengarnya tidak kelihatan di dalam senarai. Peliklah, apakah sebenarnya yang berlaku ini?
Macam bab Aina ini, bagi Cik Bunga, dia antara artis yang telah membuktikan kemampuan vokal dan kualiti karya kepada umum. Malah, ramai berpendapat Aina sepatutnya sekurang-kurangnya dicalonkan dalam kategori Penyanyi MeleTOP atau Vokal MeleTOP. Namun, realitinya nama dia langsung tidak disebut.
Memanglah Aina ada sebut yang dia tidak kisah andai tidak tercalon, tetapi, masih hal ini sangat aneh bagi kebanyakan orang.
Ya, sikap reda dan profesional Aina dipuji peminat, namun tetap timbul persoalan, adakah sistem pencalonan AME benar-benar mencerminkan realiti populariti dan pencapaian artis tanah air?
Cik Bunga terfikir, tak akanlah anugerah hiburan tempatan masih terkongkong dalam ‘formula lama’ yang penuh dengan politik dalaman, kriteria samar dan pengaruh kumpulan tertentu?
Sebab bakat besar seperti Aina yang konsisten mempertaruhkan kualiti kadangkala diketepikan hanya kerana faktor populariti semasa atau keputusan dalaman yang tidak telus, itu macam tidak adil.
Kalau sentuh bab drama Bidaah itu pula, Cik Bunga dengar, Viu bukannya tidak hantar penyertaan. Setahu Cik Bunga, ini bukan sahaja trending di platform Viu, tetapi juga menembusi pasaran Indonesia dan Brunei, malah menjadi perbualan hangat di TikTok dan platform media sosial lain.
Jika diukur melalui impak budaya dan penerimaan penonton, Bidaah jelas mempunyai kekuatan untuk bersaing. Namun, hakikat bahawa ia tidak tercalon walaupun dalam satu kategori menimbulkan tanda tanya ramai.
Isu seperti ini mencetuskan persepsi bahawa sistem anugerah tanah air tidak bebas daripada kerenah birokrasi dan politik industri.
Meskipun tiada bukti rasmi menyatakan berlaku pilih kasih atau diskriminasi, ketiadaan nama-nama besar seperti Aina dan drama sepopular Bidaah sukar untuk dianggap sekadar kebetulan.
Bagi Cik Bunga, jika benar penganjur mahu mengekalkan nilai sebagai platform pengiktirafan tertinggi, sudah tiba masanya untuk sistem pencalonan ini diperbaharui supaya lebih telus, inklusif, dan berpaksikan kualiti serta impak karya, bukan semata-mata populariti atau pengaruh dalam industri.