Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri dominasi AIM24 - Utusan Malaysia

Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri dominasi AIM24

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aina Abdul menjadi antara penyanyi wanita yang mendominasi Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) kali ini.

Penyanyi berusia 31 tahun itu tercalon bagi sembilan kategori termasuk Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik, Album Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/ Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/Drama dan Vokal Terbaik.

“Saya masih terkejut kerana ini penyertaan sulung saya dalam AIM. Saya sangat gembira.

“Saya bersyukur, Kedua-dua album saya, Imaji dan Imaji (deluxe) mendapat tempat dalam pencalonan AIM24.

“Saya hantar penyertaan hampir untuk semua kategori. Jadi cuma berserah kepada Allah. Mana yang dapat, Alhamdulillah. Yang tidak, tak mengapa.

“Kalau berpeluang, saya mahu pegang trofi AIM,” katanya.

Aina ditemui dalam majlis pengumuman pencalonan lima teratas AIM24 di Hotel Premiera, di sini.

Turut mendominasi AIM24 adalah Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri yang masing-masing juga tercalon dalam sembilan kategori.

Ketua juri AIM24, Datuk Mokhzani Ismail memaklumkan proses penjurian kali ini mencabar kerana jumlah pencalonan yang banyak perlu dijurikan dalam masa ditetapkan.

“Kami terima 862 pencalonan untuk 26 kategori yang dijurikan dalam tiga fasa berlainan.

“Proses ini mencabar kerana semua pencalonan ini perlu dinilai dalam tempoh yang ditetapkan.

“Antara kesemua kategori, tiga daripadanya memakan masa tiga hari untuk dinilai. Kategori itu termasuk Lagu Pop Terbaik dengan 72 pencalonan, Video Muzik Terbaik (70) dan Susunan Muzik Terbaik (66).

Malam kemuncak AIM24 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highland pada 13 September ini. Acara gilang gemilang itu bakal ditayangkan secara langsung di TV2 dan RTM Klik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN