POKLIP tidak terkejut pun bila umum sahaja pencalonan lima teratas Anugerah Industri Muzik (AIM) 24, ‘peperangan’ antara peminat sudah bermula. Tirai baru diselak sedikit, ibarat mahu dikoyak-koyak kainnya.
Lagi-lagi kategori panas seperti Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) yang kali ini calon-calonnya memang ‘mencetuskan’ perdebatan. Bukan kerana kontroversi tetapi kehebatan mereka.
Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Aina Abdul, Liza Hanim dan Marsha Milan menjadi lima calon yang bakal merebut trofi panas tersebut. Masing-masing punya kehebatan vokal dan suara yang dikagumi.
Namun tidak bererti, itu boleh dijadikan pencetus kepada pelbagai perbalahan, perdebatan sehingga menjatuhkan atau menidakkan kemampuan mereka. Segelintir peminat berbalah demi membuktikan kelayakan.
Ketahuilah, kelima-lima penyanyi itu sudah diperakui hebat. Jika tidak menang sekali pun, tidak akan pudar kredibiliti mereka. Malah, tidak juga bererti, yang tidak tercalon juga tidak hebat. Janganlah merendahkan sesiapa.
Memang kemenangan di AIM menjadi idaman atau mungkin bagi segelintir pihak sebagai penanda aras kejayaan dalam dunia seni muzik tanah air. Kiranya, boleh diibaratkan sebagai Grammys Malaysia.
Namun janganlah membawa kepada perbalahan. Berdebat dengan fakta tanpa menjatuhkan sesiapa itu tidak mengapa. Seronok juga bila lihat warganet sekarang penuh ilmu dalam bidang muzik.
Bukan kategori itu sahaja, kategori Album Terbaik, Lagu Terbaik dan kategori lain terutama melibatkan beberapa nama ‘panas’ turut terjadi perbalahan di media sosial. Masing-masing tak nak kalah.
Poklip faham, minat dan suka itu kita tidak boleh pertikai atau menafikan. Itu terpulang kepada pilihan peribadi masing-masing. Tetapi ada tau yang cakap suara sudah tak sedap, sengaulah dan macam macam lagi.
Ada juga ya Poklip baca di ruangan komen mempertikai pemilihan ketua juri dan juri-juri profesional. Kata anak emaslah, tidak adil dan pilih kasih. Awak, ini AIM tau. Jurinya bukan lima enam orang, tetapi ratus.
Apatah lagi, masing-masing bukan setahun jagung dalam industri muzik. Sudah diperakui dan layak. Jadi, terima sahajalah apa keputusannya kelak. Keputusan adalah muktamad dan profesional.
Tetapi sejujurnya, Poklip juga ada pilihan sendiri. Poklip tidaklah pandai dalam menilai sesuatu secara profesional, tetapi kita punya telinga dan hati, jadi kita boleh teka mana satu atau memilih kerana minat.
Poklip juga tidak sabar untuk menanti siapakah pemenang Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki). Calon-calonnya pun hebat-hebat belaka, Hafiz, Hael dan Amir Masdi. Bukan apa, kemenangan tidak hanya tertakluk kepada betapa tinggi not dicapai tetapi juga pelbagai teknik lain diambil kira.
Begitu juga dengan Album Terbaik yang jika kita amati, memang setiap calon punya kekuatan sendiri. Hendak teka pun susah. Jadi, kita sama-sama nantikan malam kemuncak AIM24 pada 13 September depan.
Mana tahu sebelum kemuncaknya, kami di Pancaindera akan buat satu analisis sendiri siapa bakal merangkul kategori terpilih? Nantikan.