PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan semua masjid dan surau di Johor melaksanakan solat hajat serta doa selamat selepas siri gegaran gempa bumi berlaku di Segamat sejak Ahad minggu lalu.
Sultan Ibrahim menzahirkan titah berkenan memohon perlindungan Allah agar sentiasa melindungi rakyat daripada sebarang musibah dan bencana susulan gegaran berkenaan.
“Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan doa agar negeri Johor serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan aman, selamat dan dilindungi daripada sebarang malapetaka,” titah Seri Paduka dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Sejak minggu lalu, Segamat dikejutkan dengan beberapa siri gegaran gempa bumi yang berlaku dalam tempoh seminggu.
Pada 24 Ogos lalu, gegaran pertama bermagnitud 4.1 dikesan di daerah itu pada Ahad pukul 6.13 pagi, disusuli gegaran kedua dengan magnited 2.8 pada pukul 9.00 pagi hari sama yang turut menggegarkan Yong Peng.-UTUSAN










