KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur merampas kira-kira 7,000 unit pelbagai barangan tiruan dianggarkan bernilai RM700,000 dalam serbuan di Jalan Petaling di sini malam tadi.
Operasi bermula pukul 5 petang itu dijalankan hasil risikan selama satu minggu.
Difahamkan, premis tersebut diubah suai dengan pembahagian ruang kecil dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) sebelum disewa sebagai stor bagi menyembunyikan barang tiruan.
Setiap ruang atau bilik kecil yang menyimpan barangan disyaki tiruan berlainan jenis termasuklah kasut, jersi dan jam tangan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, pihaknya menyerbu lima premis melibatkan dua stor simpanan dan tiga gerai.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai barangan seperti beg tangan, tali pinggang, jersi dan kasut disyaki menggunakan cap dagangan palsu.
“Sebanyak 7,000 unit pelbagai barangan tiruan bernilai RM700,000 dirampas dalam serbuan dengan kerjasama pemilik cap dagang.
“Empat individu membabitkan dua Bangladesh dan dua tempatan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun disyaki pekerja turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini hari ini.
Mohd. Shahran berkata, siasatan awal mendapati barangan tiruan terbabit dibekalkan kepada peniaga sekitar Lembah Klang dan turut dijual secara dalam talian dengan harga antara RM40 hingga RM300 seunit.
Jelasnya, barangan tiruan ini dipercayai diperoleh dari luar negara berdasarkan kepada pembungkusan serta gred tertentu.
“Siasatan awal turut mendapati stor simpanan terbabit dipercayai telah beroperasi antara dua hingga tiga bulan.
“Kita akan siasat lanjut termasuk mengenal pasti harga sewaan serta pemilik premis tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, sepanjang Op Putra yang dijalankan di Jalan Petaling sejak tahun 2023, sebanyak 49 kes dengan nilai sitaan RM2.3 juta.
“Bagi tempoh tahun ini sahaja mencatatkan 24 kes dengan nilai sitaan RM1.2 juta.
“KPDN Kuala Lumpur tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang dan peniaga dinasihat agar mematuhi segala perundangan yang ditetapkan,”katanya
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.- UTUSAN









