700 guru sekolah agama johor naik gred

700 guru sekolah agama johor naik gred

MOHD. FARED Mohd. Khalid berbual dengan guru-guru sempena Majlis Penyampaian Bantuan Bilik Guru bagi Sekolah-Sekolah Agama Daerah Pontian di Pejabat Agama Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Seramai 700 guru Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) menikmati kenaikan gred secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pelaksanaan TBBK membolehkan guru sekolah agama negeri ini menikmati kenaikan gred dalam tempoh yang lebih pendek.

“Jika dibandingkan sebelum ini, guru-guru sekolah agama mengambil masa 10 tahun untuk kenaikan gred dari DG29 ke DG32 dan tiada kenaikan pangkat dari gred DG32 ke DG34 dan pejawatan tersebut terhenti di gred DG32.

“Dengan pelaksanaan skim yang ditambah baik, tempoh kenaikan gred akan lebih pendek daripada 10 tahun kepada lapan tahun untuk kenaikan gred DG29 ke DG32. Begitu juga gred DG32 ke DG34 juga akan mengambil masa lapan berbanding tiada kenaikan gred sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian Bantuan Bilik Guru kepada 54 sekolah agama daerah ini di Pejabat Agama Pontian, di sini hari ini.

Mohd. Fared berkata, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM), Setiausaha Kerajaan Johor (SUK) telah meluluskan permohonan Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Johor bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terjaga dan mengelakkan perpindahan guru SAKJ ke Kementerian Pendidikan (KPM).

Katanya, kerajaan negeri mengalami kerugian jika guru SAKJ berpindah ke KPM kerana kehilangan tenaga pengajar bagi memastikan 582 sekolah mempunyai tenaga pelajar mencukupi.

“Ini tentunya akan menjejaskan pengajaran dan pembelajaran bagi kira-kira 200,000 murid yang sedang belajar di sekolah agama ketika ini.

“Berita gembira ini akan diumumkan pada bulan November ini bagi menyelesaikan kemelut kenaikan gred guru sekolah agama yang sekian lama dinantikan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN