50 pegawai imigresen disiasat sindiket ‘phantom travel’

50 pegawai imigresen disiasat sindiket ‘phantom travel’

ZAKARIA SHAABAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Seramai 50 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) disiasat Suruhanhaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan pembabitan dalam sindiket ‘phantom travel’.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ‘phantom travel’ iaitu satu bentuk manipulasi sistem imigresen yang bukan sahaja mencemarkan kredibiliti jabatan, malah mengancam keselamatan negara.

Katanya, Jabatan Imigresen sentiasa komited untuk menegakkan budaya kerja berintegriti tinggi dan profesional. 

“Pendekatan zero tolerance terhadap salah laku rasuah terus menjadi prinsip utama kami dan tiada ruang untuk kompromi,” katanya di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada jawapan Menteri Dalam Negeri di Parlimen hari ini mengenai pendirian tegas Jabatan Imigresen terhadap isu integriti dalam kalangan warga jabatan.

Zakaria berkata, seramai 26 pegawai imigresen dibuang kerja selepas disabitkan dengan kesalahan rasuah khususnya di pintu masuk utama negara termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tahun lalu.

“Angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding lapan pegawai pada 2023 dan mencerminkan ketegasan jabatan dalam melaksanakan tindakan tatatertib secara adil, berprinsip dan tanpa memilih bulu,” jelasnya.

Zakaria berkata, tanggungjawab operasi imigresen di pintu-pintu masuk utama negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dipindahkan sepenuhnya kepada Agensi Kawalan Pintu Sempadan (AKPS) pada 1 Februari lalu.

“Seiring dengan pemindahan tanggungjawab ini, segala urusan berkaitan integriti pegawai yang bertugas di pintu masuk termasuk siasatan dan tindakan tatatertib kini turut berada di bawah seliaan AKPS. 

“Jabatan Imigresen terus memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada AKPS dalam memastikan prinsip integriti yang sama terus ditegakkan tanpa kompromi,” katanya.

Katanya, Jabatan Imigresen amat tegas dalam hal-hal berkaitan integriti dan mana-mana pegawai yang terlibat dalam salah laku akan dikenakan tindakan tegas tanpa pengecualian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN