SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) merekodkan sebanyak 168 kes disiplin melibatkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan atau guru di negeri ini sejak tahun 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Ismail Lasim berkata, kesalahan disiplin yang direkodkan itu antaranya membabitkan kesalahan tidak hadir bertugas, gangguan seksual, ingkar perintah dan kesalahan jenayah.
Menurutnya, kesalahan lain antaranya tiga kesalahan mencederakan murid, enam kesalahan hubungan sulit, empat kesalahan keluar negara tanpa kebenaran dan sembilan kebankrapan.
“Berdasarkan 168 kes tersebut, daerah Seremban merekodkan sebanyak 89 kes, masing-masing 11 membabitkan daerah Port Dickson dan Kuala Pilah, 36 membabitkan daerah Jempol/Jelebu, lapan kes membabitkan daerah Rembau, serta 13 kes membabitkan daerah Tampin.
“Tindakan susulan yang diambil bagi guru yang terlibat dalam kes disiplin ini adalah di bawah tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan & Tatatertib) 1993 (P.U.(A)395/1993),” katanya pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15, di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang ingin mengetahui mengenai isu disiplin melibatkan guru di negeri serta bilangan pelajar yang terjejas.
Ujar Ismail lagi, tindakan tatatertib berkenaan berdasarkan jenis kesalahan yang dilakukan dan bagi kesalahan berat, tindakan berhenti boleh diambil kepada guru terbabit.-UTUSAN










