PUTRAJAYA: Pelakon dan pengacara popular, Zulin Aziz menyifatkan media digital masa kini seolah-olah menjadi pentas bebas untuk segelintir pihak menghina dan mencemuh tanpa mengambil kira kesan terhadap maruah dan kerjaya individu.
Zulin atau Farah Azleenda Abdul Aziz, 36, berkata, segelintir individu kini seolah-olah merasakan mereka bebas menjatuhkan maruah orang lain secara terbuka, sebagaimana yang berlaku terhadap pengacara, Uyaina Arshad, baru-baru ini.
“Memang sakit hati bila tahu orang mengumpat kita. Sekarang pula, media sosial jadi platform rasmi untuk kutuk secara terbuka. Kita sendiri yang baca rasa macam dengar depan-depan.
“Itulah yang Uyaina hadap. Terang-terangan orang kutuk dia secara berjemaah, sedangkan ada perkara yang langsung tidak betul. Jadi bila dia marah dan ambil tindakan, memang patut pun,” katanya dalam satu majlis pelancaran produk kosmetik terbaharu Lavvanya dan Myeongdong Topokki di IOI City Mall, Putrajaya, semalam.
Zulin turut menyokong tindakan Uyaina sama ada melalui undang-undang mahupun kenyataan terbuka kerana masyarakat kini terlalu bebas beraksi di media sosial tanpa kawalan.
“Ramai yang tak sedar batas apa yang boleh atau tidak boleh dikongsi, tetapi bila bab gosip, laju sahaja mereka kongsi.
“Kalau kita nak didik pasal batas atau adab, ramai yang terus langkau. Susah nak kawal sebab perkara sebegini sudah tersebar luas. Saya sendiri pernah lalui,” tambahnya.
Terdahulu, Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, tampil menegur segelintir netizen yang didakwanya gemar mengumpat dan menyebarkan fitnah secara terbuka di media sosial hingga dianggap sebagai suatu bentuk buli siber.
Zulin turut mendedahkan bahawa dia sendiri pernah mengeluarkan saman sebanyak tiga kali terhadap individu yang menyebarkan fitnah terhadapnya.
“Saya pernah bayar peguam untuk tiga kes berbeza. Tapi akhirnya semua minta maaf sebab tak mampu bayar. Bila dah kena saman, baru menangis dan mohon maaf secara terbuka,” ujarnya.
Baginya, isu sebegini boleh menjejaskan reputasi hingga menutup periuk nasi seseorang dan memberi kesan langsung kepada rezeki anak seni.
“Kalau ada jenama yang mahu berkolaborasi dengan kita, mereka akan lihat gosip. Kalau nama kita tercalar, mereka boleh batalkan kerjasama,” tegasnya.
Zulin turut menitipkan nasihat buat rakan-rakan artis, khususnya yang masih baharu dalam industri agar tidak terlalu berusaha memuaskan hati semua pihak.
“Kita bukan sempurna. Jangan terlalu nak jadi sempurna depan orang. Yang penting, kita tak buat salah dengan orang. Jangan sampai hilang diri sendiri hanya kerana mahu jaga pandangan orang.
“Selagi tidak sentuh hal keluarga dan maruah, mungkin kita boleh maafkan. Tapi kalau dah sampai ganggu periuk nasi, memang kena buat sesuatu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zulin memaklumkan dirinya kini sedang berehat daripada aktiviti seni selepas selesai menjalani penggambaran di tiga lokasi berbeza iaitu Melaka, Perlis dan Mersing.
Buat masa ini, dia memberi tumpuan sepenuhnya kepada beberapa komitmen perniagaan dan menjangka akan kembali aktif di layar kaca dalam masa terdekat. – UTUSAN